Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang jurutera direman selama empat hari bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap peguam Datuk Ram Singh berkait inkues kematian pelajar, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali membenarkan permohonan reman yang dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah oleh pegawai penyiasat, hari ini.
Perintah reman terhadap lelaki berusia 27 tahun itu bermula 9 hingga 12 Oktober, dan kes disiasat di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan.
Difahamkan, lelaki berkenaan menyerah diri di balai polis di sini pada Selasa.
Ram ketika dihubungi berkata antara mesej yang diterimanya berbunyi, “Nanti kamu mati disoal Tuhan,” dan “Biar kau mati katak.”
Beliau telah membuat laporan polis berhubung ugutan itu pada 2 September lalu.