Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

JPN Sabah jamin keselamatan calon SPM, sedia hadapi risiko banjir


Read Time:1 Minute, 17 Second

KENINGAU :  Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah memberi jaminan bahawa keselamatan serta kebajikan lebih 37,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini akan terus menjadi keutamaan sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung sehingga 23 Disember ini.

Pengarah JPN Sabah Datuk Raisin Saidin berkata, pihaknya sentiasa cakna terhadap sebarang kemungkinan termasuk risiko bencana banjir dan penularan penyakit berjangkit seperti Influenza.

Menurutnya, JPN Sabah telah memperkemas persiapan dan bersedia mengaktifkan Operasi Payung sekiranya berlaku bencana alam yang menjejaskan perjalanan peperiksaan.

“Calon akan ditempatkan di asrama sekolah atau pusat pemindahan sementara, manakala bantuan logistik akan segera disalurkan kepada mereka serta petugas yang terkesan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi turun padang bagi meninjau persiapan peperiksaan bagi kertas pertama Bahasa Melayu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Keningau di sini pada Selasa.

Hadir sama Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Bagi memastikan calon kekal fokus dan berada dalam keadaan emosi yang stabil, Raisin berkata JPN Sabah turut menyediakan khidmat sokongan psikososial sepanjang tempoh peperiksaan.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan calon agar segera memaklumkan ketidakhadiran ke pusat peperiksaan – sama ada di pusat asal atau berhampiran – sekiranya terhalang akibat bencana.

“Calon boleh menghubungi talian bilik gerakan peperiksaan JPN Sabah di 088-304099 atau 088-221132. Kami komited memastikan peperiksaan SPM 2025 berjalan lancar dan teratur,” ujarnya.

Tahun ini, Sabah merekodkan seramai 37,038 calon SPM, termasuk 232 Calon Berkeperluan Khas (CBK) yang akan menduduki peperiksaan di 320 pusat peperiksaan dengan penyertaan 4,214 petugas, merangkumi pengawas peperiksaan daripada kalangan sukarelawan.

Peperiksaan bertulis SPM 2025 turut melibatkan 81 mata pelajaran merangkumi 113 kertas peperiksaan.

LEAVE A RESPONSE