Read Time:1 Minute, 31 Second
KINABATANGAN: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Johainizamshah Johari melahirkan keyakinan mampu memberi saingan kepada lima lagi calon lain di kerusi itu.
Johainizamshah, 39, bakal berentap merebut kerusi itu dengan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Calon lain ialah WARISAN, Mohd Saifulah Lokman; Perikatan Nasional (PN), Mazlin Madali; Parti Impian Sabah (PIS), Salahuddin @ Salehuddin Anoi dan calon bebas, Mohd Ismail Ayob.
Johainizamshah berkata, keyakinannya itu berbekalkan rekod perkhidmatan dan pencapaiannya sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) kawasan itu sepanjang tiga tahun berkhidmat.
Katanya, , beliau amat menghargai kepercayaan yang diberikan kepimpinan GRS, khususnya Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor kerana memberi peluang kepada calon muda sepertinya untuk bertanding di kerusi yang disifatkan sebagai antara kerusi panas pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
“Sebagai anak muda, saya yakin mampu memberi saingan kuat berdasarkan prestasi semasa GRS mentadbir Sabah, selain rekod saya sebagai Pemimpin Pembangunan Masyarakat di Lamag sepanjang tiga tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon di sini, hari ini.
Johainizamshah berkata, sepanjang tempoh berkhidmat, pelbagai inisiatif telah berjaya direalisasikan termasuk pembangunan bandar baharu Sungai Milian yang menurutnya bakal mengubah landskap pembangunan Kinabatangan dan memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.
“Ini bukan janji, tetapi kerja berterusan. Dalam tempoh tiga tahun, kita berjaya membawa masuk pelaburan besar seperti pembinaan bandar baharu itu.
“Isu permohonan tanah yang tertunggak sejak 1990-an turut berjaya diselesaikan, membabitkan 442 geran tanah yang kini telah diuruskan di bawah pentadbiran semasa,” katanya.
Mengakui cabaran sebagai calon muda bukan sedikit, Johainizamshah menegaskan bahawa kekuatan beliau terletak pada politik berasaskan nilai, kerja lapangan dan rekod perkhidmatan yang nyata kepada rakyat.
“Dengan dasar-dasar kerajaan negeri yang menyentuh nadi rakyat sepanjang lima tahun ini, saya yakin pengundi akan terus memberi mandat kepada GRS untuk meneruskan kesinambungan pembangunan di Lamag,” katanya.






