Read Time:1 Minute, 13 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sugut Datuk James Ratib menegaskan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Katanya, ia adalah bagi meneruskan kesinambungan pembangunan yang memberangsangkan dibawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Insya Allah, jika diberi mandat oleh Presiden (Parti Gagasan Rakyat Sabah), saya akan terus menggalas tugas ini dengan penuh tanggungjawab.
“Saya juga yakin sesiapa sahaja yang bertanding di Sugut akan kehilangan deposit dan saya yakin sokongan rakyat kepada kita masih kukuh dan kuat di kawasan Sugut,”katanya kepada Sabah Media di sini.
Dalam tempoh lima tahun lalu, James memaklumkan bahawa pencapaian pembangunan di Sugut amat memberangsangkan, termasuk penaiktarafan daerah Paitan daripada daerah kecil kepada daerah penuh.
Katanya, ia merupakan satu sejarah besar bagi penduduk tempatan.
“Kami juga baru sahaja menerima dewan baru bernilai RM2 juta yang telah lama dinantikan, serta pembinaan asrama dan rumah guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpangan yang kini sedang berjalan,” ujarnya.
“Selain itu, sebanyak 200 unit rumah PPRT sedang dirancang dibina di Paitan manakala projek Paitan Smart City bakal menjadi mercu tanda baru yang membanggakan rakyat setempat,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya kesediaan beliau untuk berdepan Ahli Parlimen Beluran Datuk Ronald Kiandee yang dijangka bertanding di kawasan itu, James berkata, beliau sedia berdepan menentang Ronald pada PRN akan datang.
“Calon yang mereka bawa bukan anak tempatan, malah saya melihatnya sebagai calon ‘ayam mati’ yang tidak akan mampu menyaingi kekuatan kami di Sugut,” katanya. – SABAH MEDIA