Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Individu penempatan setinggan didakwa curi elektrik di Sepanggar

Read Time:1 Minute, 19 Second

KOTA KINABALU: Seorang penghuni penempatan setinggan di Sepanggar didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu atas tiga pertuduhan berkaitan kecurian elektrik dan pemasangan pendawaian tanpa kebenaran.

Tertuduh yang didakwa di hadapan Hakim Marlina Ibrahim pada Rabu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024).

Bagi pertuduhan pertama, individu itu didakwa mengikut Seksyen 8(1)(b) kerana membekalkan elektrik kepada beberapa premis dalam penempatan setinggan tanpa lesen sah. Jika sabit kesalahan, hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya boleh dikenakan.

Pertuduhan kedua pula dibuat mengikut Seksyen 61(3)(a) kerana mengambil elektrik secara curang, yang membawa hukuman denda antara RM1,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Sementara itu, pertuduhan ketiga di bawah Seksyen 61(8) melibatkan perbuatan memasang pendawaian elektrik tanpa kebenaran Sabah Electricity. Kesalahan ini memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan, namun dia direman kerana gagal membayar wang jaminan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Januari 2026.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, kes ini merupakan pendakwaan pertama melibatkan kecurian elektrik di kawasan penempatan setinggan.

“ECoS bersama Sabah Electricity akan melipatgandakan usaha membanteras kegiatan kecurian elektrik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, aktiviti mencuri elektrik bukan sahaja menyebabkan kerugian kepada Sabah Electricity, malah berisiko tinggi dari aspek keselamatan kerana pendawaian yang tidak mengikut piawaian serta kerap mengakibatkan gangguan bekalan kepada pengguna berdaftar di kawasan berhampiran akibat beban berlebihan.

LEAVE A RESPONSE