ISLAMABAD – Krisis Islamabad-New Delhi semakin meningkat selepas Menteri Maklumat Pakistan, Attaullah Tarar pada Rabu mendedahkan maklumat risikan mengenai rancangan India yang mahu melancarkan kempen ketenteraan dalam tempoh 24 hingga 36 jam akan datang.
Memetik laporan Sinar Harian, amaran itu diberikan Attaullah sehari selepas Perdana Menteri India, Narendra Modi mengadakan mesyuarat tertutup bersama ketua tentera yang mana beliau memberikan ‘kebebasan operasi sepenuhnya’ kepada pasukan keselamatan untuk bertindak balas terhadap serangan ganas di hab pelancongan Pahalgam di Kashmir yang ditadbir New Delhi pada 22 April lalu.
“Mereka cuba menjadikan insiden di Pahalgam sebagai helah palsu untuk menyerang Pakistan. Sebarang tindakan pencerobohan akan menerima respons yang tegas daripada kami. India akan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap sebarang akibat yang serius,” ujarnya lagi.

Sejak minggu lalu, New Delhi berulang kali menuduh Islamabad menyokong serangan ganas itu meskipun dinafikan sekeras-kerasnya oleh Pakistan.
Insiden berbalas tembakan di sepanjang Garis Kawalan (LoC) sempadan de facto Kashmir dilaporkan turut berterusan selama enam hari berturut-turut.
Situasi yang kian tegang antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu mencetuskan kebimbangan kepada negara antarabangsa termasuk China dan Amerika Syarikat (AS).