Read Time:1 Minute, 9 Second
KUDAT : Impian penduduk Kampung Nusa-Nusa, Pulau Banggi di sini untuk menikmati bekalan elektrik yang stabil kini menjadi kenyataan menerusi pelaksanaan projek komuniti Sistem Solar (OGPV-1 3.5 dan 7Kw) di kampung tersebut.
Projek berimpak tinggi yang dilaksanakan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Maybank Islamic tu bukan sekadar menyediakan tenaga hijau, tetapi turut menjadi pemangkin kepada kesejahteraan dan pembangunan komuniti luar bandar.

Majlis taklimat pelaksanaan projek diadakan pada Sabtu, disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PBNS Mohd Arif Hairal dan Timbalan Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMS Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud.
Sebagai simbol komitmen terhadap kejayaan projek, penduduk Kampung Nusa-Nusa menandatangani surat Aku Janji, mencerminkan kesungguhan mereka dalam memastikan sistem solar ini dapat dijaga dan dimanfaatkan sepenuhnya untuk kesejahteraan bersama.
PBNS dalam kenyataan memaklumkan, pelaksanaan sistem solar ini akan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga konvensional serta menyediakan bekalan elektrik yang lebih stabil dan mesra alam.
Ini sekali gus membuka peluang kepada pembangunan ekonomi tempatan seperti keusahawanan kecil dan pendidikan.
Kerjasama antara PBNS, UMS dan Maybank Islamic ini turut memperkukuh peranan kedua-dua institusi dalam menggerakkan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang berteraskan pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.
Inisiatif tenaga solar di Nusa-Nusa ini menjadi bukti nyata bahawa usaha kecil yang berpaksikan keikhlasan dan ilmu mampu membawa sinar besar kepada kehidupan masyarakat pedalaman Sabah. – SABAH MEDIA / FOTO PBNS






