Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Ibu bapa sebak terima anugerah ijazah anumerta anak

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Suasana hiba menyelubungi Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) apabila nama Farah Hasanah Abdul Jaid @ Abdul Kaid disebut mengundang rasa sebak graduan di dalam dewan berkenaan.

Lebih menyedihkan, bukan graduan terbabit melangkah ke pentas sebaliknya ibu bapanya yang naik menerima ijazah diperoleh hasil titik peluh anak mereka yang sudah tiada.

Ijazah anugerah khas secara anumerta itu disampaikan Pro Canselor UMS, Tan Sri Azman Hashim kepada ibunya Kamalahan Musli dan turut dihadiri bapanya Abdul Jaid @ Abdul Kaid di Dewan Canselor UMS di sini/

Allahyarhamah Farah Hasanah, 23, berasal dari Lahad Datu, meninggal dunia pada 24 Julai tahun lalu akibat kegagalan buah pinggang, sekali gus menamatkan perjalanan akademik serta cita-cita besarnya dalam bidang teknologi.

Allahyarhamah yang dikenali sebagai peramah dan disenangi rakan-rakan mula menunjukkan tanda kemerosotan kesihatan sekitar 2023.

Ayahnya, Abdul Jaid, berkata Farah merupakan seorang yang ceria seperti adik-beradiknya yang lain, namun berjauhan dari keluarga setelah melanjutkan pengajian ke UMS.

“Dia buat dialisis peritoneal sendiri di rumah, tetapi tidak sampai sebulan pun, keadaan dia berubah begitu cepat,” katanya.

Ibunya, Kamalahan Musli, 52, turut berkongsi keadaan tersebut dan berkata keadaan kesihatan anaknya semakin merosot selepas memasuki tahun ketiga pengajian.

“Tahun satu dan dua dia masih kuat, tapi bila masuk tahun tiga, kesihatannya makin merosot. Ubatnya pun tidak sempat habis,” katanya sebak.

Farah sangat rapat dengan kakaknya, Farah Hazimah, yang kini mengikuti pengajian peringkat Sarjana di UMS.

Allahyarhamah meminati bidang Sains Data dan pernah menyatakan hasrat untuk membangunkan satelit Malaysia, impian yang sering dikongsikannya bersama keluarga.

Keluarga itu juga pernah kehilangan anak sulung dalam kemalangan pada 2020, namun Farah sentiasa mengingatkan ibu bapanya supaya tabah menghadapi ujian.

Menurut ibunya lagi, Allahyarhamah tidak pernah lupa mendoakan kesihatan kedua-dua orang tuanya sepanjang hayatnya.

Di kampus, Farah dikenang sebagai pelajar aktif persatuan dan tetap mengutamakan komitmen akademik. Pemergiannya memberikan kesan mendalam kepada keluarga, rakan-rakan serta pensyarah yang mengenalinya sebagai pelajar berdedikasi dan berjiwa besar.

LEAVE A RESPONSE