KOTA KINABALU: Ibu bapa dan penjaga di Sabah dibenarkan untuk tidak menghantar anak masing-masing ke sekolah sekiranya mempunyai kebimbangan terhadap kesihatan mereka susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di negeri ini.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu boleh dibuat oleh ibu bapa atau penjaga dengan syarat pemakluman diberikan kepada pihak sekolah.
Menurutnya, semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah seliaan Kementerian Pendidikan (KPM) di Sabah bagaimanapun kekal beroperasi seperti biasa pada Jumaat, 16 Oktober 2026.
“JPN Sabah amat mengambil berat tentang kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya,” menurut kenyataan itu di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, murid dan pelajar yang hadir ke sekolah digalakkan memakai pelitup muka sebagai langkah penjagaan kesihatan berikutan keadaan jerebu semasa.
JPN Sabah turut menetapkan semua aktiviti luar bilik darjah yang melibatkan murid dan pelajar dihentikan di sekolah atau institusi pendidikan yang berada di kawasan dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 100.
Langkah itu dilaksanakan sebagai tindakan berjaga-jaga bagi mengurangkan pendedahan murid dan pelajar kepada keadaan udara yang tidak sihat.
JPN Sabah berkata sebarang perubahan berkaitan status pengoperasian sekolah atau maklumat terkini mengenai keadaan semasa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.





