Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Hormati kepelbagaian kaum demi perpaduan Sabah – Hajiji Noor

Read Time:1 Minute, 24 Second

TAMPARULI: Rakyat diseru agar terus menghormati perbezaan antara satu sama lain bagi memperkukuh ikatan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan bangsa di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu serta saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat.

“Perpaduan yang kukuh hanya dapat dicapai apabila rakyat bersatu dan saling menghargai kepelbagaian yang wujud dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pesta Angpau 2026 anjuran Persatuan Chung Fook Tong bersama 10 persatuan Cina lain di Dewan Tun Hamdan, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong program yang memperkukuhkan perpaduan rakyat, keharmonian antara kaum serta pembangunan sosial dan budaya, selari dengan aspirasi Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

“Pesta Angpau ini membuktikan bahawa kerjasama erat antara kerajaan dan pertubuhan masyarakat mampu membawa manfaat besar kepada kesejahteraan rakyat,” katanya.

Hajiji turut mengulangi harapan agar rakyat terus bersama kerajaan sebagai rakan kongsi dalam memperkukuh perpaduan dan mengekalkan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat serta kelancaran pembangunan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0.

Beliau juga mahu masyarakat Tionghua terus menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam memacu pembangunan Sabah.

Menurutnya lagi, Pesta Angpau merupakan platform penting untuk memelihara, meneruskan dan berkongsi budaya serta nilai murni masyarakat Tionghua kepada seluruh rakyat.

Malah, usaha itu membuka ruang untuk budaya tempatan dikenali dengan lebih meluas termasuk ke peringkat antarabangsa.

“Lebih membanggakan, penganjuran pesta ini turut menggalakkan penyertaan masyarakat berbilang kaum, selaras dengan identiti Sabah yang terkenal sebagai negeri yang aman, harmoni dan penuh toleransi.

“Inilah kekuatan sebenar kita, kepelbagaian yang diraikan bersama, bukan perbezaan yang memisahkan,” katanya.

LEAVE A RESPONSE