Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Hassan fokus perkasa infrastruktur dan ekonomi rakyat DUN Sebatik

Read Time:2 Minute, 46 Second

Oleh Normimie Diun

TAWAU: Pembangunan infrastruktur dan peningkatan kesejahteraan sosioekonomi penduduk menjadi keutamaan pemyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Datuk Hassan A. Gani Pg Amir sejak memegang amanah sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

Menurut Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sebatik itu, cabaran utama di Sebatik ialah faktor geografi yang melibatkan kawasan pulau dan tanah besar, yang memerlukan perancangan teliti bagi memastikan pembangunan dapat dinikmati secara seimbang oleh semua penduduk.

“Keperluan paling utama bagi penduduk di kawasan pulau ialah bekalan air bersih. Masalah ini telah beberapa kali dibangkitkan di Dewan Undangan Negeri dan mendapat perhatian kerajaan. Menteri berkaitan juga telah turun padang untuk meninjau dan mencari penyelesaian bersama Jabatan Air,” kata Hassan ketika ditemui Sabah Media di sini, hari ini.

Hassan berkata, beberapa sumber air telah dikenal pasti di kawasan Pulau Sebatik dan kini hanya menunggu peruntukan untuk melaksanakan projek bekalan air bagi manfaat penduduk tempatan.

Selain itu, isu jalan raya di Pulau Sebatik turut menjadi tumpuan kerana laluan sedia ada tidak lagi sesuai menampung peningkatan kenderaan berat seperti lori sawit.

“Jalan dari Kampung Mentadak ke Kampung Bergosong misalnya, dibina ketika hanya digunakan kenderaan ringan. Kini dengan adanya kilang dan kebun sawit yang semakin banyak, jalan itu perlu dinaik taraf supaya mampu menampung kenderaan berat,” jelasnya.

Beliau turut menjelaskan bahawa bagi kawasan tanah besar Sebatik, kebanyakan jalan utama berada di bawah tanggungjawab kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kerja Raya (JKR), termasuk laluan utama yang perlu dibaik pulih secara menyeluruh bagi menjamin keselamatan pengguna.

Dalam aspek ekonomi, Hassan berkata pelbagai inisiatif disediakan oleh kerajaan di bawah pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi membantu golongan muda dan usahawan luar bandar, namun maklumat mengenainya belum sampai sepenuhnya kepada penduduk pulau yang berdepan kekangan perhubungan.

“Saya sudah menyuarakan kepentingan pembinaan jeti-jeti utama di kawasan pulau bagi memudahkan pergerakan dan aktiviti ekonomi. Ada beberapa jeti sudah dibaik pulih, namun masih ada yang memerlukan kos tinggi untuk dibina semula,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, pendapatan utama penduduk Pulau Sebatik ialah daripada sektor perikanan dan pertanian, terutamanya kelapa sawit yang mudah dipasarkan ke kilang tempatan milik syarikat swasta.

Mengenai perancangan masa depan, Hassan berkata pembangunan rumah di bawah program SMJ akan diteruskan, termasuk di kawasan pulau meskipun berdepan cabaran logistik.

“Saya akan pastikan masyarakat di Pulau Sebatik menerima nikmat pembangunan yang sama seperti di tanah besar. Ini komitmen kerajaan GRS kepada rakyat,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa terdapat pelan pembangunan baharu oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) di Kampung Sungai Melayu bagi membangunkan kawasan itu sebagai pusat pembangunan bercampur yang merangkumi perumahan dan kemudahan komersial.

Dalam aspek keselamatan sempadan, katanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah meluluskan pembinaan empat pos keselamatan di sepanjang sempadan Malaysia–Indonesia di Pulau Sebatik bagi mengekang aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

“Saya berharap satu sistem pagar keselamatan atau anti-climb fence dapat diwujudkan bagi mengawal pergerakan keluar masuk di kawasan sempadan,” katanya.

Mengulas mengenai sokongan rakyat, Hassan menyeru penduduk N73 Sebatik agar terus memberi kepercayaan kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya NegerI ke-17 (PRN17) Sabah akan datang ini untuk meneruskan agenda pembangunan.

“Saya yakin dengan kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, pembangunan akan terus disalurkan ke seluruh Sabah, termasuk kawasan luar bandar seperti Sebatik. Saya juga menyeru semua pengundi turun awal pada hari mengundi nanti bagi melancarkan proses pilihan raya,” katanya.

LEAVE A RESPONSE