Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Hari mengundi jadi peluang peniaga cari rezeki

Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh J Evachel John

PUTATAN: Hari mengundi bukan sahaja peluang rakyat Sabah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi, malah menjadi kesempatan peniaga kecil mencari rezeki di pusat mengundi yang sesak.

Seawal jam 5.30 pagi, Nursaiedah Gustamin, ditemani anak perempuannya, sudah mula menyediakan gerai di luar SMK Putatan, walaupun hujan awal pagi menyukarkan persiapan.

“Biasanya saya berniaga depan BSN Putatan saja. Tapi hari ini ambil peluang berniaga di sini sebab ada kawan yang ajak. Kami minta izin cikgu, dan dia bagi dua tempat untuk berniaga, asalkan tidak ganggu laluan dan juga tempat letak kereta,” katanya.

Ditanya mengenai sambutan, Nursaiedah bersyukur walaupun hujan jualannya laris.

“Hujan pun hujanlah. Rezeki hari mengundi,” katanya sambil tersenyum.

Selepas menyiapkan persiapan gerai, Nursaiedah ke SK Putatan untuk membuang undi sebelum kembali semula ke tapak jualan beliau.

“Saya bersemangat mahu mengundi dan berharap calon yang saya pilih akan menang. Bagi saya, mengundi adalah tanggungjawab kerana ia menentukan masa depan, bukan sahaja generasi muda tetapi juga kami sebagai peniaga dan rakyat Sabah,” katanya.

Apabila ditanya mengenai harapannya kepada wakil rakyat baharu, Nursaiedah berkata beliau mengharapkan seorang pemimpin jujur yang turun padang meninjau keadaan masyarakat sendiri, bukan hanya bergantung kepada laporan daripada pihak bawahan.

“Kami mahu pemimpin yang benar-benar prihatin. Jangan harap orang bawahan sahaja yang menyampaikan maklumat. Kadang-kadang wakil rakyat bagus, tetapi jika orang bawahan tidak amanah, matlamat tidak akan tercapai. Jika hal ini berlaku, nama wakil rakyat turut tercalar,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman peribadi melibatkan penyandang kerusi DUN Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya, yang pernah membantu keluarganya secara senyap selepas rumah mereka di Pasir Putih musnah dalam kebakaran.

“Beliau tidak pernah menyiarkan apa-apa di Facebook. Dalam diam, beliau membantu tanpa mengharapkan perhatian, dan itu benar-benar menyentuh hati saya. Saya berharap lebih ramai pemimpin seperti beliau,” katanya.

Nursaiedah, yang kini menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kibabaig, Penampang, berkata sudah empat tahun keluarganya memohon unit di PPR Taman Sri Serigai dan Taman Sri Keramat di Putatan, namun dimaklumkan tiada unit tersedia.

“Tempat kami sekarang agak jauh dan mempunyai cabarannya sendiri, terutamanya dari segi infrastruktur. Jalan di Penampang teruk, kami terpaksa tukar tayar kereta beberapa kali. Apabila hujan lebat, kawasan kami banjir dan kami tidak dapat keluar rumah untuk berniaga,” ujarnya.

Beliau berharap kerajaan baharu akan memberi perhatian kepada isu lama seperti banjir dan jalan rosak, serta menambah bilangan unit PPR di daerah Putatan.

LEAVE A RESPONSE