Read Time:1 Minute, 53 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Sambutan Hari Etnik Sabah 6.0 terus menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang etnik di negeri ini.
Penganjuran pada kali ini menampilkan satu komponen baru iaitu perarakan Budaya Etnik, yang mendapat respon memberangsangkan.
Perarakan tersebut bermula di Dataran Deasoka pada jam 5 petang dan bergerak sejauh kira-kira 2.3 kilometer sebelum berakhir di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC).
Sepanjang laluan, pusat bandar Kota Kinabalu bertukar menjadi “pentas bergerak” yang mempamerkan kepelbagaian etnik Sabah.
Menteri Pembangunan Belia, Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata program anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) itu juga diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Perayaan Hari Etnik Sabah merupakan acara tahunan anjuran LKNS yang bertujuan untuk menghargai, meraikan serta memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Sabah.
“Tema bagi sambutan Hari Etnik Sabah 6.0 ialah “Budaya Kita, Kita Jaga”. Tahun ini menampilkan komponen baharu iaitu perarakan budaya,” katanya sebelum perarakan bermula petang Sabtu.
Menurut beliau, antara objektif utama penganjuran adalah untuk meraikan keunikan dan kepelbagaian budaya etnik di Sabah sebagai model perpaduan terbaik di Malaysia.
Nizam turut memaklumkan bahawa Hari Etnik Sabah 6.0 menghimpunkan 182 presiden dan pengerusi persatuan etnik di seluruh negeri.
“Inisiatif ini menyediakan ruang dan peluang kepada badan-badan kebudayaan dalam usaha memelihara, melindungi dan mempromosi warisan budaya agar diwarisi oleh generasi kini dan akan datang.
“Pada masa sama, ia bertujuan memupuk semangat kesatuan dan perpaduan dalam kalangan etnik di negeri Sabah melalui kebudayaan di bawah payung Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah,” katanya.
Beliau menambah, program itu juga berpotensi menjadi produk pelancongan budaya yang mampu menarik pelancong dalam dan luar negara melalui keunikan lebih 35 etnik di Sabah.
Antara yang menyertai perarakan termasuk Persatuan Etnik Murut Nabai, Persatuan Rumpun Bajau Sama Sabah (PRBSS), Persatuan Kebudayaan Kesenian dan Warisan Suluk Sandakan (PUSAKA), Persatuan Etnik Sungai, Pertubuhan Rungus Bersatu Sabah (PRBS), Persatuan Tarian Naga dan Singa Thian You Sabah, Persatuan Etnik Brunei, Kadazan Dusun Cultural Association Sabah (KDCA), Persatuan IKSNITA serta bas Hop On Hop Off.
“Diharapkan agar Majlis Sambutan Hari Etnik Sabah akan terus menjadi wadah dalam memastikan perpaduan dan keharmonian etnik dapat dijaga dan diteruskan pada masa-masa akan datang,” tambahnya.






