Read Time:1 Minute, 50 Second
KOTA MARUDU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletakkan calon wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandau pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 kerana ingin mengangkat martabat wanita di negeri ini, khususnya kawasan Bandau.
Hajiji percaya, calon GRS DUN Bandau, yang juga Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Redonah Bahanda akan menang seterusnya dapat menyumbang kerusi untuk GRS bagi menentukan siapakah yang akan menjadi kerajaan negeri Sabah selepas PRU ini.
Menurut Hajiji, mengundi kerajaan adalah untuk menentukan masa depan kita, termasuk di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bongon ini. Kita mesti sokong kerajaan yang prihatin dan kerajaan yang telah menentukan trek rekod yang terbaik.
” Orang susah kita tolong, dulu tidak pernah dibuat kerajaan sebelum ini, kita bangunkan ekonomi, industri, pelancongan, modal insan, pertanian dan pendidikan. Termasuk membantu rakyat khususnya mereka yang memerlukan.
” Redonah membawa suara wanita, tambahan pula di Kota Marudu ini, terdapat kira-kira 50 peratus pengundi adalah dari golongan wanita. Kamu sokong dia untuk diangkat sebagai pemimpin wanita negeri Sabah, itu pasal saya pilih dia sebagai calon, katanya.
Hajiji berkata demikian ketika berucap pada majlis kempen ‘rumah kita, kita jaga’ DUN Bandau di PDM Bongon yang dihadiri lebih 2,000 orang penduduk khususnya dari sekitar Bongon.
Hajiji yakin Redonah bukan calang-calang orangnya, beliau yakin bahawa Redonah boleh menggalas tanggungjawab dengan baik berdasarkan pengalaman beliau selama ini.
” Sementara itu, ada yang tidak dipilih sebagai calon, bertindak terburu-buru, marah dan merajuk. Walaupun berkawan dengannya, namun ini adalah ketentuan rezeki, dan saya tidak setuju dengan apa yang diputuskan oleh calon bebas itu. Biarlah dia dengan pendiriannya.
Hajiji menegaskan bahawa bebas tidak boleh memerintah negeri Sabah, begitu juga dengan parti kecil yang lain, mereka tidak akan berjaya memerintah negeri Sabah. Kenapa kita harus buang masa mengundi dia?, soalnya.
” Mana-mana ahli parti yang bertanding bebas atau mana-mana parti, kita akan ambil tindakan tegas termasuk memecat pemimpin itu. Kita ada peraturan, kita ada undang-undang tubuh parti kita, kita tidak boleh bertindak sesuka hati kita, katanya.
Beliau merayu kepada pengundi di PDM Bongon, DUN Bandau khususnya supaya mengundi calon GRS itu pada Sabtu ini. Katanya, kerusi Bandau diyakini akan menambah kerusi untuk membolehkan GRS membentuk kerajaan pada malam 29 November ini.






