Read Time:1 Minute, 15 Second
Oleh Silar Pinikit
KENINGAU : Kerajaan Negeri Sabah di bawah kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) terus menunjukkan komitmen tinggi dalam memperkasakan sektor pendidikan negeri, seiring usaha melahirkan generasi celik digital dan berdaya saing.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Datuk Ellron Angin, berkata pelbagai inisiatif telah diperkenalkan kerajaan negeri termasuk BUDI, BAGUS dan SUKSES, yang memberi manfaat besar kepada para pelajar melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“GRS sentiasa menitikberatkan pembangunan pendidikan sebagai asas kemajuan negeri.
“Melalui pelbagai program dan bantuan, kerajaan mahu memastikan setiap pelajar Sabah mempunyai akses kepada pembelajaran berkualiti dan berteraskan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Smart TV Inovasi PdP Digital kepada SMK Keningau, pada Rabu.
Ellron berharap sumbangan itu dapat menyokong pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Digital (PdP Digital) serta memperkukuh amalan pembelajaran abad ke-21 di sekolah berkenaan.
Terdahulu, beliau turut meninjau sesi PdP di bilik darjah dan menyaksikan demonstrasi penggunaan SmartTAG TV dalam proses pengajaran, yang disifatkannya sebagai contoh terbaik pelaksanaan inovasi pendidikan di peringkat sekolah.
“Teknologi bukan sekadar alat bantu mengajar, tetapi wadah untuk menjadikan proses PdP lebih interaktif dan berkesan,” tambahnya.
Untuk rekod, SMK Keningau telah menerima sebanyak 54 unit Smart TV, meliputi semua kelas PdP dan bilik khas, menjadikannya antara sekolah terkehadapan dalam pelaksanaan pembelajaran digital secara menyeluruh.
Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah Keningau Johari Sabin, Pengetua SMK Keningau Sabdin Haji Saribin, dan Yang Dipertua PIBG Melitus Anastasius. – SABAH MEDIA






