KOTA KINABALU, 6 Oktober – Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, Kerajaan Sabah tetap stabil dan semua agenda pembangunan berjalan lancar meskipun dengan ketiadaan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).
“Bagi saya jelas, rakyat Sabah mahu kestabilan. GRS ditubuhkan atas semangat itu untuk satukan kekuatan parti-parti tempatan yang sehaluan dan pastikan kerajaan berfungsi dengan baik, berpaksikan kepentingan rakyat,” katanya memetik Sinar Harian.
Joniston menambah, akhirnya, rakyat mahu melihat kerajaan yang konsisten memperjuangkan kepentingan mereka.
“Itulah yang boleh mereka harapkan daripada GRS, sebuah gabungan yang kekal fokus membawa pembangunan asas, membuka peluang pekerjaan, dan memastikan rakyat Sabah sentiasa jadi keutamaan,” katanya lagi.
Menurut Joniston, GRS sudah membuktikannya melalui peningkatan hasil negeri, rizab yang kukuh, pelaburan besar dan peruntukan hampir RM1 bilion untuk pendidikan serta kemahiran rakyat.
GRS yang kini diterajui Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, masih didokong oleh beberapa parti komponen utama iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS).
Terdahulu, Hajiji mengumumkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan berkuat kuasa hari ini sekali gus memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17.
Beliau yang juga Pengerusi GRS berkata, permohonan pembubaran itu sudah diperakukan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman pagi ini.