Read Time:1 Minute, 37 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
KOTA KINABALU: Prestasi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak menerajui pentadbiran negeri dilihat berada pada tahap yang memuaskan, dengan kejayaan mengekalkan kestabilan politik dalam kalangan parti komponennya meskipun berdepan pelbagai cabaran sebagai sebuah gabungan.
Menurut Pensyarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr. Anantha Raman Govindasamy, GRS telah menunjukkan keupayaan menguruskan negeri dengan baik sebagai satu pasukan walaupun terdiri daripada pelbagai parti yang mempunyai ideologi berbeza.
“Mereka sudah melakukan yang termampu. Sebagai gabungan, bukannya senang hendak memerintah negeri tanpa pengorbanan antara parti-parti komponen. Namun GRS berjaya mengekalkan kerjasama dalam satu aliran, dan itu memberi kestabilan kepada Sabah,” katanya kepada Sabah Media.
Beliau berkata, sepanjang tempoh pentadbiran GRS, gabungan itu berjaya mengekalkan kesepakatan dan keharmonian politik yang menjadi asas penting kepada kestabilan negeri.
“Itu merupakan sumbangan terbaik GRS setakat ini. Mereka berjaya memastikan kerajaan terus stabil dan berfungsi dengan baik,” jelasnya.
Mengulas mengenai kedudukan GRS selepas pengunduran Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP), Anantha berpendapat situasi politik ketika ini masih dinamik dan terbuka kepada pelbagai kemungkinan.
“Saya rasa masih ada masa untuk mereka membuat perubahan sebelum pilihan raya akan datang. Walaupun STAR dan SAPP mengumumkan keluar, saya lihat perkara ini belum muktamad,” katanya.
Beliau turut mengulas laporan kajian firma bebas iaitu Ilham Centre yang menunjukkan GRS mendahului parti-parti lain di Sabah.
“Jika dilihat daripada perancangan dan pendekatan GRS, mereka masih mempunyai kelebihan. Tambahan pula, ada juga kenyataan bahawa parti-parti seperti STAR dan SAPP masih ‘berkawan’ dengan GRS.
“Keadaan ini belum jelas sepenuhnya. Mungkin mereka keluar sementara untuk menyelesaikan isu dalaman seperti pengagihan kerusi. Jadi, lebih baik kita tunggu dan lihat perkembangan dalam beberapa hari atau minggu akan datang,” tambah beliau.
Anantha menjelaskan bahawa politik Sabah bersifat dinamik dan sebarang perubahan boleh berlaku dengan cepat bergantung kepada rundingan serta strategi antara parti.
“Apa yang penting, kestabilan negeri perlu dikekalkan, dan GRS setakat ini berjaya menunjukkan contoh ke arah itu,” ujarnya.