Read Time:1 Minute, 18 Second
Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung kini berada dalam tahap kesiapsiagaan penuh menjelang Pilihan Raya (PR) Sabah yang dijadual berlangsung pada November ini.
Penyandang kerusi DUN Balung merangkap Ketua PGRS Bahagian Balung, Datuk Hamild Awang berkata. semua jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) telah disusun dan bersedia untuk digerakkan sebaik sahaja proses penamaan calon selesai.
“Kita sudah bersedia menghadapi pilihan raya kali ini. Jentera-jentera di peringkat PDM pun telah kita atur dan susun. Pengundi-pengundi juga sudah dikenal pasti dan jentera kita sudah dilantik untuk digerakkan selepas penamaan calon nanti,” katanya kepada Sabah Media.
Menurut beliau, berdasarkan jangkaan awal, terdapat kira-kira 12 peratus daripada lebih 22,000 pengundi di kawasan Balung terdiri daripada pengundi muda, yang disifatkan sebagai kumpulan penting dalam menentukan hala tuju pembangunan kawasan tersebut.
“Dari segi kepentingan, pengundi muda ini mengharapkan agar kerajaan sentiasa mengambil berat tentang keperluan mereka, terutama dalam aspek pekerjaan dan peluang keusahawanan sama ada dalam skala kecil atau besar,” jelasnya.
Hamild turut menekankan bahawa kerajaan GRS memberi tumpuan khusus terhadap pembangunan belia dengan menyediakan pelbagai inisiatif, termasuk bantuan modal, latihan, serta peluang memperkasa kemahiran keusahawanan dan kerjaya.
“Di peringkat kita, memang banyak program dilaksanakan melalui kerajaan negeri termasuk bantuan modal kepada usahawan muda, kursus motivasi, serta peluang pekerjaan bukan sahaja di kawasan Balung tetapi juga di peringkat negeri,” katanya.
Beliau yakin sokongan pengundi muda terhadap GRS akan terus kukuh, selaras dengan komitmen kerajaan yang konsisten dalam memperjuangkan nasib generasi muda demi masa depan yang lebih sejahtera.