Read Time:1 Minute, 2 Second
SANDAKAN: Sebagai tanda keprihatinan berterusan terhadap kebajikan penduduk, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Karamunting Datuk George Hiew Vun Zin menyumbangkan sebuah kerusi roda kepada seorang warga emas yang mengalami kesukaran berjalan.
Sumbangan itu disampaikan oleh wakil beliau, Asmat Rems, yang juga Pengerusi JKKK Kampung Air, kepada warga emas berkenaan yang menetap di kawasan Karamunting.
Bantuan ini bertujuan memudahkan pergerakannya, terutamanya ketika menghadiri rawatan susulan bulanan di klinik berhampiran.
Menurut George, bantuan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusannya untuk memastikan golongan warga emas, pesakit kronik dan mereka yang memerlukan mendapat perhatian sewajarnya.
“Kami faham bahawa pergerakan merupakan keperluan asas. Bagi warga emas yang sukar berjalan, kemudahan seperti kerusi roda boleh memberi perbezaan besar dalam kehidupan seharian mereka,” katanya.
Beliau menegaskan, sumbangan sebegini bukan sekadar bantuan fizikal, malah tanda prihatin terhadap keperluan masyarakat yang sering berdepan cabaran kesihatan.
“Harapan kami, bantuan kecil ini dapat meringankan beban keluarga serta memudahkan warga emas berkenaan menghadiri pemeriksaan kesihatan bulanan tanpa sebarang kesulitan,” tambahnya.
Hiew turut menekankan bahawa program bantuan seumpama ini akan diteruskan bagi memastikan kebajikan penduduk, khususnya golongan rentan dan memerlukan, sentiasa terbela.
“Kami akan sentiasa mendengar dan mengambil tindakan terhadap setiap permintaan atau keperluan masyarakat. Apa sahaja bantuan yang mampu kami hulurkan, akan kami usahakan,” katanya. – SABAH MEDIA