Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Generasi profesional baharu diseru rebut peluang perkukuh industri OGSE Sabah

Read Time:2 Minute, 17 Second

KOTA KINABALU: Seramai 53 graduan generasi profesional baharu diseru merebut setiap peluang untuk memperkukuh kemahiran dan membina kecekapan sebenar bagi memacu pertumbuhan industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah.

Seruan itu disampaikan Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Masidi Manjun menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh pembantu Menteri Kewangan Datuk Mohd Ishak Ayub pada Majlis Konvokesyen Ke-12 TAS Institute of Oil & Gas, di sini, pada Sabtu.

Beliau berkata, hari konvokesyen bukan sekadar penerimaan sijil, sebaliknya mencerminkan komitmen jangka panjang institut berkenaan dalam melatih anak tempatan, selari dengan keutamaan Kerajaan Negeri Sabah yang melihat sektor minyak dan gas sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serta penciptaan pekerjaan berkualiti.

Menurutnya, kerjasama kukuh antara Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS menjadi titik perubahan penting apabila ia membuka ruang lebih luas kepada syarikat Sabah untuk berkembang, di samping memberi fokus terhadap pembangunan bakat tempatan.

“Kepada generasi profesional baharu, anda perlu bersedia bekerja keras dan menimba pengalaman sebenar. Rebut setiap peluang untuk belajar di tempat kerja, terus memperkukuh kemahiran dan membina kecekapan melalui pengalaman. Negeri ini mengharapkan anda menjadi tenaga kerja mahir, boleh dipercayai dan diyakini sebagai pemacu utama industri OGSE serta pertumbuhan jangka panjang Sabah,” katanya.

Beliau berkata, Sabah kini merupakan pengeluar minyak mentah terbesar di Malaysia dan berada pada kedudukan strategik untuk menerajui fasa pertumbuhan tenaga seterusnya susulan peningkatan aktiviti luar pesisir serta pembangunan di perairan lebih dalam.

Sehubungan itu, katanya, industri memerlukan lebih ramai tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi yang mengutamakan keselamatan, dengan latihan memenuhi piawaian antarabangsa serta selaras keperluan industri.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada TAS Institute dan anak syarikatnya, SEQU-TAS Offshore Safety yang memulakan latihan kepada anak tempatan lebih awal sebelum ia menjadi dasar rasmi, sekali gus membantu ramai graduan daripada keluarga B40 meningkatkan taraf hidup.

Masidi turut mengumumkan sokongan penuh Kerajaan Negeri terhadap penganjuran OGSE Sabah Conference yang akan berlangsung dari 4 hingga 6 Jun 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

Persidangan sulung itu dianjurkan oleh Sabah Oil and Gas Services Council dan Persatuan Kontraktor Petroleum Bumiputera Sabah bagi meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam kontrak OGSE.

Menurutnya, pada tahun 2025, pemilikan kontrak oleh syarikat Sabah mencatat rekod hampir 40 peratus dan kerajaan menyasarkan peningkatan kepada 60 peratus menjelang 2026 melalui kerjasama erat semua pihak termasuk PAC dan OPU.

Beliau turut menghargai peranan Sabah Local Content Council yang dipengerusikan oleh SMJ Energy atas penubuhan Industry Joint Task Force yang diterajui ConocoPhillips bagi memperkukuh keupayaan teknikal, kepimpinan dan kesiapsiagaan bakat industri OGSE Sabah.

Sejak penubuhannya, TAS Institute telah melahirkan lebih 2,000 graduan mahir dalam bidang minyak dan gas yang kini menyumbang di Sabah dan seluruh negara.

Masidi berkata, kerajaan negeri menggalakkan institut itu terus mempercepat momentum melatih bakat berkualiti tinggi sehingga diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan industri.

LEAVE A RESPONSE