Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Gagasan Rakyat Bugaya gerakkan jentera, fokus tawan kerusi DUN Bugaya

Read Time:1 Minute, 26 Second

Oleh Florieta Diet

KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Bugaya telah menggerakkan jentera dalam semangat kerjasama erat bersama komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan tekad utama untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya.

Ketua Pergerakan Wanita Gagasan Rakyat Bugaya merangkap Penyelaras GRS Parlimen Semporna, Rahmawati Eranza, berkata persiapan jentera ketika ini masih belum mencapai tahap maksimum kerana calon rasmi belum diumumkan.

“Buat masa sekarang, persiapan belum 100 peratus sebab kita belum tahu siapa calon,” katanya ketika ditemui Sabah Media pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Negeri ke-17 GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.

Namun begitu, Rahmawati menegaskan bahawa gerak kerja tetap berjalan melibatkan semua komponen GRS di kawasan masing-masing, termasuk usaha mendekati pengundi, menyalurkan sumbangan serta menerangkan kelebihan dan pencapaian kerajaan GRS.

Mengulas cabaran di Bugaya, Rahmawati berkata jumlah pengundi yang hampir mencecah 36,000 menjadikan kempen lebih mencabar, ditambah pula dengan kekuatan parti pembangkang di kawasan itu.

“Memang banyak cabaran. Kita tahu di sana kubu kuat pembangkang, jadi kita kena kerja lebih kuat,” ujarnya.

Mengenai isu dan fitnah yang dimainkan pembangkang, beliau berkata pendekatan jentera ialah memberi penjelasan mengenai apa yang telah dilakukan kerajaan GRS sepanjang memerintah, termasuk isu air.

Beliau menolak dakwaan pihak pembangkang yang mendakwa masalah air boleh diselesaikan dalam tempoh setahun.

“Itu tidak betul, tidak relevan dan tidak masuk akal. Masalah air ini sudah lama. Mustahil boleh selesai dalam masa setahun,” tegasnya.

Rahmawati turut menasihatkan pengundi DUN Bugaya agar memilih pemimpin dan kerajaan yang mampu membawa perubahan sebenar, bukan sekadar menabur janji.

Dalam konteks kerjasama gabungan, beliau menjelaskan bahawa GRS di Bugaya terdiri daripada komponen seperti Gagasan Rakyat, PBS dan USNO, dan walaupun calon belum diumumkan, kerjasama terutama dalam kalangan wanita berjalan dengan baik.

LEAVE A RESPONSE