Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

‘Gadis Turbo’ terima sokongan padu Ketua Menteri hadapi SEA Games 2025

Read Time:1 Minute, 18 Second

SANDAKAN : Jaguh pecut kebangsaan, Nur Aishah Rofina Aling, menerima sumbangan khas daripada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sebagai tanda penghargaan dan sokongan terhadap kejayaan gemilangnya dalam bidang olahraga.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Ketua Pemuda Bahagian Sungai Sibuga merangkap EXCO Pemuda Negeri Parti Gagasan Rakyat Sabah, Henry Hamdan, dalam satu majlis di Sandakan baru-baru ini.

Ketua Menteri menyatakan kebanggaannya terhadap bakat dan potensi atlet kelahiran Sandakan itu yang diyakini mampu terus mengharumkan nama negeri dan negara di pentas antarabangsa.

Sokongan ini amat bermakna buat Nur Aishah yang kini sedang giat mempersiapkan diri untuk bertanding dalam Sukan Asia Tenggara (SEA Games) yang bakal berlangsung di Thailand pada 9 hingga 20 Disember ini.

Dikenali sebagai ‘Ratu Pecut Borneo’ dan ‘Gadis Turbo’, Nur Aishah memiliki rekod pencapaian luar biasa.

Beliau baru-baru ini menjuarai acara 100 meter wanita dan membawa pulang pingat emas dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Thailand 2025 di Bangkok.

Selain itu, beliau turut mencipta kejayaan bersama kuartet Sabah apabila menjuarai acara 4×100 meter wanita di Sukan Borneo yang diadakan di Sarawak bulan lalu.

Rekod peribadi terbaik Nur Aishah dalam acara 100 meter adalah 11.90 saat, yang turut membuahkan emas di Kejohanan Terbuka Malaysia (KOM) 2023.

Atlet yang pernah dinobatkan sebagai Ratu Pecut Sukan Sabah pada 2017 ini juga menyumbang kepada kejayaan pasukan pecut wanita Malaysia dengan meraih pingat gangsa dalam acara 4×100 meter di Sukan Asia 2022.

Dengan semangat juang dan sokongan yang diterima, diharapkan Nur Aishah terus mencipta kejayaan dan mengangkat martabat Malaysia dalam sukan antarabangsa, bermula dengan kejohanan SEA Games Thailand yang bakal menjelang. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE