Read Time:1 Minute, 12 Second
RANAU: Dua lelaki maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki hanyut dibawa arus deras ketika cuba menyeberangi sungai Moroli Kg Narawang dekat sini, pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.22 pagi tadi (1 Nov).
“Sebaik menerima penggilan pasukan bomba Ranau bergegas ke lokasi kejadian sejauh 20 kilometer dari balai itu, kita mendapati terdapat dua orang mangsa yang dipercayai lemas di Sungai Moroli, Kampung Narawang disebabkan kenderaan yang dinaiki telah hanyut dibawa arus deras,” katanya.
Jelas Rantey, pengadu memaklumkan kedua-dua mangsa menaiki sebuah kenderaan jenis Ford Ranger dan cuba menyeberangi Sungai Moroli, namun arus sungai yang deras menyebabkan kenderaan tersebut gagal menyeberangi sungai tersebut.
“Kenderaan itu kemudian ditemui oleh orang awam kira-kira 200 meter dari tempat kenderaan hanyut, namun kenderaan tersebut kosong tanpa mangsa di dalamnya.
“Pasukan bomba mendapatkan maklumat lanjut seterusnya menjalankan operasi (SAR), dan mendapati kedua-dua mangsa telah dijumpai oleh orang awam,” katanya.
Menurut beliau lagi, mangsa pertama dijumpai pada jam 11.18 pagi di lokasi 10 kilometer dari lokasi kenderaan, manakala mangsa kedua dijumpai pada jam 11.48 di lokasi 1 kilometer dari lokasi mangsa pertama dijumpai.
Tambah beliau, mangsa disahkan meninggal dunia dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Setelah memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.23 petang.






