Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Doakan urusan kami dipermudahkan, selamat pulang ke Malaysia – Nourizmah

Read Time:2 Minute, 57 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU : “Doakan urusan kami di Tanah Suci dipermudahkan serta dapat pulang ke Malaysia dengan selamat dalam masa terdekat,” kata Nourizmah Awang Zaini,41.

Nourizmah merupakan antara 283 jemaah umrah di bawah kendalian sebuah agensi kini terkandas di Mekah selepas penerbangan pulang mereka yang dijadualkan pada petang Ahad waktu Jeddah dibatalkan.

Beliau yang berasal dari Kota Kinabalu menunaikan ibadah umrah bersama dua lagi adik beradiknya turut memohon doa agar semua jemaah berada dalam keadaan sihat dan urusan perjalanan pulang berjalan lancar.

Nourizmah bersama kumpulan jemaah yang terkandas susulan pembatalan penerbangan – Foto Ihsan Nourizmah

“Saya mengharapkan rakyat Malaysia terutama keluarga dan sahabat saya untuk mendoakan agar urusan jemaah umrah, khususnya rombongan jemaah kami dipermudahkan, diberi kesihatan yang baik dan dapat pulang lebih awal dengan selamat.

“Meskipun terkandas, saya turut rasa syukur apabila diberi peluang tambahan masa untuk terus beribadah di Tanah Suci bersama adik-beradik saya susulan pembatan penerbangan balik ke Malaysia” katanya ketika dihubungi Sabah Media di sini pada Isnin.

Meskipun timbul rasa bimbang kemungkinan terkandas di Lapangan Terbang Jeddah, namun bagi Nourizmah, beliau dan rakan-rakan jemaah tetap berusaha kekal positif dan tenang.

“Alhamdulillah, Allah SWT berikan kami masa tambahan untuk melihat Kaabah dan beribadah.

“Namun, pada masa sama memang terlintas juga di fikiran, adakah kami akan terkandas di Lapangan Terbang Jeddah dan adakah kami selamat berada di sana,” katanya.

Sementara itu, Nourizmah berkata, pembatalan penerbangan oleh Malaysia Airlines (MAS) yang menurutnya wajar dilakukan atas faktor keselamatan, lebih-lebih lagi mengambil kira situasi yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai baru-baru ini.

“Memang agak terkejut, tetapi kami masih boleh kekal positif dan bertenang. Tindakan MAS membatalkan penerbangan harus dilakukan demi keselamatan semua,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada pihak agensi pengurusan umrah atas ketangkasan menguruskan kebajikan jemaah.

“Terima kasih tidak terkata kepada agensi umrah kami yang segera menyediakan lanjutan penginapan hotel untuk setiap jemaah serta mengurus makan dan minum yang ditanggung sepenuhnya. Kami juga sentiasa diberi ‘update’ tentang situasi terkini,” katanya.

Menurut Nourizmah, setakat ini ibadah umrah berjalan seperti biasa dalam keadaan tenang dan terkawal, malah aktiviti harian mereka tidak terjejas sama sekali.

Beliau berkata jemaah hanya menerima maklumat rasmi yang disalurkan pihak agensi serta perkembangan melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram, selain sentiasa mengikuti arahan mutawwif dan wakil agensi.

“Saya sendiri menggunakan data roaming sejak mula tiba di sini bagi memastikan keluarga sentiasa dimaklumkan keadaan sebenar. Masa yang ada ini saya gunakan untuk memperbanyakkan doa dan ibadah supaya kekal positif sementara menunggu jadual baharu,” katanya lagi.

Terdahulu, Malaysia Airlines membatalkan beberapa penerbangan antara Kuala Lumpur dan Doha, Jeddah serta Madinah pada 28 Feb dan 1 Mac 2026, susulan penutupan ruang udara di beberapa bahagian di Asia Barat.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan pihaknya sentiasa memantau perkembangan dan keadaan terkini di rantau itu.

“Situasi di seluruh Arab Saudi pada ketika ini adalah selamat dan terkawal. Namun rakyat Malaysia di Arab Saudi dinasihatkan supaya peka dengan perkembangan semasa dan diminta kekal tenang.

“Konsulat Jeneral Malaysia Jeddah sentiasa berkomunikasi dengan pihak berkuasa mengenai situasi semasa dan sebarang perkembangan penting yang memerlukan tindakan lanjut akan dimaklumkan dengan kadar segera,” menurut kenyataan itu.

Ketegangan di Asia Barat meningkat apabila Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu, dengan Israel menyifatkannya sebagai “serangan awal” terhadap musuh ketatnya bagi “menghapuskan ancaman”.

Serangan itu berlaku selepas AS meningkatkan kehadiran ketenteraannya secara besar-besaran di rantau berkenaan bagi memberi tekanan kepada Tehran supaya mengurangkan program nuklearnya, serta susulan tindakan keras di Iran terhadap protes besar-besaran. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE