Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

DAP Sabah hargai sumbangan Frankie Poon dan Liau Fui Fui

Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU : Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah menghormati keputusan bekas pengerusinya, Datuk Frankie Poon, dan pemimpin wanita Liau Fui Fui yang mengambil keputusan untuk meninggalkan parti bersama cawangan masing-masing.

Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe, berkata pihaknya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan penghargaan atas jasa serta sumbangan mereka kepada parti dan rakyat Sabah selama ini.

“Kami mengucapkan terima kasih yang ikhlas atas khidmat dan dedikasi mereka. DAP Sabah mendoakan yang terbaik untuk Datuk Frankie Poon dan Liau Fui Fui dalam perjalanan mereka yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Phoong berkata, DAP Sabah kini akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh khidmat rakyat di Sandakan, termasuk memperkasa pembangunan positif untuk komuniti setempat.

Beliau turut menyatakan keyakinan penuh terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, yang juga Setiausaha DAP Sabah, dalam meneruskan agenda perjuangan parti di kawasan tersebut.

“Saya percaya kepada kepimpinan YB Vivian Wong untuk memperkukuh jentera parti di Sandakan dan memastikan DAP terus menjadi suara rakyat dengan idea serta perkhidmatan yang berorientasikan rakyat,” katanya.

Phoong turut menegaskan bahawa barisan kepimpinan baharu DAP Sabah komited untuk terus bekerja dengan kejujuran, rendah diri dan dedikasi, demi membina masa depan lebih baik untuk seluruh rakyat Sabah.

“Kami akan terus melangkah ke hadapan, membuka lembaran baharu dengan semangat harapan, ketabahan dan perpaduan untuk semua rakyat Sabah,” ujarnya.

Terdahulu, Frankie dan Fui Fui, hari ini mengumumkan keputusan rasmi untuk meninggalkan DAP bersama dua cawangan parti di bawah pimpinan mereka.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu menegaskan keputusan tersebut dibuat selepas menilai dengan teliti pelbagai perkembangan dalaman parti sejak kebelakangan ini, dan bukan sesuatu yang dilakukan secara tergesa-gesa

“Kami telah melihat dengan jelas tindakan-tindakan tersirat daripada kepimpinan tertentu yang menunjukkan wujudnya agenda tersembunyi untuk menggantikan kepimpinan sedia ada di Tanjong Papat tanpa sebarang rundingan atau perbincangan rasmi,” kata kenyataan itu.

Frankie dan Liau turut menyuarakan rasa kecewa terhadap halatuju DAP Sabah yang menurut mereka kini lebih menumpukan kepada kelompok muda, sekali gus mengabaikan peranan pemimpin veteran dan senior yang telah lama berjuang untuk parti.

“DAP Sabah kini hanya menumpukan kepada kelompok muda untuk mengetuai parti dengan mengabaikan pengorbanan pemimpin lama.

“Dalam mana-mana organisasi, perlu ada keseimbangan kepimpinan agar ia berkembang secara harmoni dan inklusif,” tambah kenyataan tersebut.

Dengan pengumuman tersebut, mereka memaklumkan bahawa dua cawangan DAP yang berada di bawah kepimpinan masing-masing kini turut keluar daripada struktur parti, dan akan meneruskan perjuangan politik mereka di peringkat akar umbi secara bebas.

LEAVE A RESPONSE