Chan Tepis Dakwaan Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia – Amerika Hanya Menguntungkan Semenanjung Semata-mata
Read Time:2 Minute, 10 Second
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, menegaskan bahawa Perjanjian Perdagangan Timbal Balik Malaysia–Amerika Syarikat (ART 2025) tidak sama sekali menjejaskan kepentingan Sabah atau Sarawak, sebaliknya memberi manfaat menyeluruh kepada negara termasuk negeri-negeri di Borneo.
Beliau berkata, dakwaan yang dibuat oleh beberapa pemimpin Sabah bahawa perjanjian itu “menguntungkan Semenanjung Malaysia semata-mata” adalah tidak berasas dan tidak mencerminkan tujuan sebenar perjanjian yang bersifat inklusif dan nasional.
“Perjanjian perdagangan ini tidak terhad kepada mana-mana wilayah tertentu, malah tidak mengecualikan Sabah atau Sarawak. Adalah tidak wajar untuk mendakwa bahawa perjanjian ini menjejaskan kepentingan Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Chan, sebanyak 1,711 produk Malaysia daripada pelbagai sektor termasuk minyak sawit, getah, kayu, koko dan produk hiliran lain disenaraikan dalam pengecualian tarif di bawah ART 2025 — kesemuanya merupakan komoditi utama Sabah dan Sarawak.
Chan yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu berkata, Sabah kekal sebagai pengeluar minyak sawit mentah terbesar negara dengan pengeluaran 4.27 juta tan pada tahun 2024, bersamaan 22.1 peratus daripada jumlah pengeluaran nasional.
“Di bawah ART 2025, eksport minyak sawit mampan dan produk berasaskan koko dari Sabah akan menikmati akses pasaran yang lebih luas ke Amerika Syarikat,” katanya.
Inisiatif seperti Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) dan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) turut membantu memperkukuh kedudukan pekebun kecil di Sabah dan Sarawak.
Mengulas dakwaan bahawa import gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat akan menjejaskan operasi di Kimanis atau Bintulu, Chan menjelaskan bahawa perkara berkenaan adalahtidak benar.
“Petronas telah lama mendapatkan bekalan LNG daripada pelbagai rakan antarabangsa, termasuk Amerika Syarikat, jauh sebelum pengumuman tarif terbaharu.
Kontrak import ini adalah sebahagian daripada strategi pengimbangan bekalan tenaga negara, bukan penggantian kepada operasi sedia ada,” jelas beliau.
Katanya lagi, fasiliti LNG di Kimanis dan Bintulu kekal sebagai aset strategik negara yang menyumbang berbilion ringgit kepada hasil kerajaan Persekutuan dan Negeri.
Chan turut menegaskan bahawa Sabah tidak pernah diketepikan dalam diplomasi perdagangan Malaysia.
“Sebagai Timbalan Menteri, saya sendiri mengetuai beberapa delegasi ke China dan pasaran ASEAN bagi mempromosikan produk Sabah di peringkat antarabangsa,” katanya, sambil menambah bahawa tumpuan sepatutnya kini diberikan kepada memperkukuh industri negeri agar menjadi hab eksport bernilai tambah.
Beliau menyeru semua pihak agar berhenti menimbulkan polemik dan sebaliknya berganding bahu memperkasa Sabah di bawah kerangka perjanjian antarabangsa ini.
“Persoalannya bukan sama ada Sabah diketepikan, tetapi bagaimana kita memperkasa Sabah agar menjadi hab eksport dan negeri pengeluaran bernilai tambah,” katanya.
Beliau menegaskan, perjanjian perdagangan Malaysia–Amerika Syarikat tidak harus dilihat sebagai “zero-sum game”, sebaliknya sebagai peluang strategik untuk Sabah meningkatkan eksport dan menarik pelaburan baru.






