Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Calon DUN di Tuaran Raih Tumpuan, Saingan Berprofil Tinggi

Read Time:3 Minute, 0 Second

TUARAN: Kemeriahan di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Seri Sulaman di sini, pagi tadi dibuktikan dengan kehadiran ribuan penyokong terdiri pelbagai parti yang hadir menyokong calon masing-masing sempena penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

PPC ini menyaksikan penamaan calon bagi empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sulaman, Tamparuli, Kiulu dan Pantai Dalit yang terletak dalam kawasan Parlimen Tuaran.

Kerusi Dewan Undangan (DUN) Sulaman menyaksikan saingan lima penjuru, apabila Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor dicabar oleh empat calon lain selepas pencalonan mereka disahkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tuaran, Ibrahim Terki.

Empat pencabar lain ialah Dr Shahnon Rizal Thaijuddin dari Barisan Nasional (BN), Moktar Hussin (Parti Warisan), Pajudin Nordin (Parti Impian Sabah) dan Tiaminah @ Siti Aminah Ele (Perikatan Nasional).

Datuk Seri Hajiji mempertahankan kerusi DUN Sulaman dengan majoriti 3,099 undi dalam saingan tiga penjuru pada PRU DUN Sabah ke-16.

Dua lagi kerusi paling ditumpukan di Parlimen Tuaran, iaitu DUN Tamparuli dan Kiulu, masing-masing menyaksikan saingan 13 dan lapan penjuru pada PRN Sabah ke-17.

Bagi DUN Tamparuli, bekas pensyarah kanan universiti, Dr Bonaventure Boniface, akan mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menggantikan penyandang terdahulu, Datuk Jahid Jahim.

Beliau berdepan cabaran daripada Datuk Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), yang juga Ahli Parlimen Tuaran.

Turut memberi saingan di kerusi berkenaan, Dr Gaim @ James Lunkapi daripada Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Jinitoh Sontori daripada Parti Solidariti TanahAirku (STAR), Julia Ongkili (Parti Impian Sabah) dan Lee Han Kyun @ Joseph Lee (Parti Warisan).

Selain itu, Parti Kerjasama Anak Negeri meletakkan Arthur Erik Lee manakala Parti Rumpun mencalonkan Aliusus Sipil.

Lima calon Bebas lain memberi tentangan masing-masing Vun Yun Fook, Samson S. Koroh @ Razali Suffian, Johan Jahid, Andrew Mali, serta Raymond Alfred @ Jenry.

Bagi DUN Kiulu pula, penyandang kerusi terdahulu, Datuk Joniston Bangkuai sebagai wakil GRS bakal mempertahankan kedudukannya menentang tujuh pencabar lain.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan GRS, akan ditentang oleh Joisin Romut (UPKO).

Selain itu, turut memberi saingan adalah Ketua STAR Bahagian Kiulu, Terence Sinti yang disusuli Niyky @ Niky J. Bosikol (Parti Impian Sabah),Saibin Gunsari (Warisan) dan calon dari KDM yang mempertaruhkan bekas pemain bola sepak, Henry Saimpon.

Difahamkan, dua lagi calon yang memberi saingan kepada Joniston ialah Trevor Kenneth Maringking (Parti Anak Negeri), dan Dusi Gingging daripada Parti Kebangsaan Sabah (PKS).

Pada PRN16 lalu, Joniston menang dengan majoriti 1,221 undi menewaskan lima lagi pencabarnya, manakala Jahid menang di DUN Tamparuli dengan majoriti 3,517 undi mengalahkan tiga calon lain.

Dalam perkembangan sama, DUN Pantai Dalit pula menyaksikan saingan tujuh penjuru, dengan GRS meletakkan penyandang kerusi berkenaan, Datuk Jasnih Daya.

Warisan meletakkan Datuk Aliasgar @ Ali Ashgar Basri, Liam Tawil (Parti Impian Sabah), Mohd Zulkernain Osman (Perikatan Nasional), Jaesman @ Jaess Gipin (KDM); Francis Fahir (STAR), serta BN menampilkan Alfian Sambas.

Jasnih menang dengan majoriti 3,794 undi dalam pilihan raya tahun 2020, menewaskan tujuh lagi pencabar sebelumnya.

Pengesahan senarai calon diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tuaran, Ibrahim Terki.

Seramai 1,784,843 pengundi layak mengundi dalam PRN kali ini, terdiri daripada 1,760,417 pengundi biasa, 11,697 anggota tentera dan pasangan, serta 12,729 anggota polis dan pasangan.

Semua 25 pusat penamaan calon (PPC) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah pun ditutup kira-kira jam 10 pagi tadi, selepas dibuka selama sejam.

Pengumuman penutupan yang dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya (RO) di PPC masing-masing itu, maka bermulalah kempen PRN Sabah selama 14 hari seperti ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), iaitu hingga 11.59 malam pada 28 November.

LEAVE A RESPONSE