Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Bukan cakap kosong, GRS bukti bantu tanpa pilih kasih – Liew Yun Fah

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Ahmad Husnayan

TAWAU: Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah menafikan dakwaan kononnya kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengamalkan pilih kasih dalam menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Sebaliknya, katanya, kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor terbukti mengutamakan kebajikan rakyat tanpa mengira latar belakang politik atau perbezaan fahaman.

“Saya sendiri berada dalam kerajaan GRS dan saya saksi sendiri Ketua Menteri tidak pernah pilih kasih.

“Contohnya, rumah yang kita serahkan hari ini ada penerima bukan penyokong GRS, tapi tiada siapa pun membantah. Bila rakyat layak dan susah, kerajaan tetap bantu,” katanya

Liew yang juga Naib Pengerusi GRS berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di Merotai, baru-baru ini.

Menurutnya, fitnah terhadap kerajaan GRS tidak berasas, malah wajar ditolak kerana apa yang dilaksanakan kerajaan hari ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Ketua Menteri selalu ingatkan kami bahawa rakyat adalah penentu kerajaan. Rakyat tidak bersalah, yang penting pemimpin perlu jujur dan terus bantu mereka,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat agar menilai secara adil usaha kerajaan negeri dalam memperjuangkan nasib rakyat susah, khususnya melalui program perumahan SMJ.

“Belum pernah ada kerajaan bagi rumah percuma seperti ini. Tapi masih ada yang menabur fitnah terhadap kerajaan GRS dan Ketua Menteri. Ini tidak adil.

“Rakyat yang sudah menerima bantuan patut bersama menegakkan kebenaran,” katanya.

Dalam majlis berkenaan, lima buah rumah SMJ diserahkan kepada penerima di kawasan Merotai, menjadikan jumlah keseluruhan bantuan perumahan di kawasan itu sudah mencecah puluhan unit.

Liew berkata, sekiranya kerajaan GRS terus diberi mandat oleh rakyat pada Pilihan Raya Negeri kali ini, program seumpama itu akan diperluas ke seluruh pelusuk Sabah.

“Kita akan terus bantu golongan berpendapatan rendah dan rakyat yang hidup susah. Itu komitmen kita,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima rumah SMJ, Jais Tarongak, 55, meluahkan rasa syukur selepas menerima rumah baharu yang sekian lama dinantikan.

“Kami sudah lama menunggu rumah sendiri. Sebelum ini saya tinggal di rumah mertua. Ramai pemimpin datang, tapi kali ini baru betul-betul dapat rumah percuma.

“Saya berterima kasih kepada Ketua Menteri dan Tan Sri Liew yang tidak jemu membantu rakyat Merotai,” katanya.

Menurutnya, rumah baharu itu bukan sekadar tempat berteduh, tetapi lambang keprihatinan kerajaan terhadap rakyat bawahan. Inilah bukti kerajaan yang betul-betul sayang rakyat. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE