Read Time:1 Minute, 4 Second
Oleh Silar Pinikit
KENINGAU: Persatuan Kebudayaan Keningau (KenCA) dengan kerjasama Persatuan Gana Sabah (PGS) serta Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Keningau telah menganjurkan Bengkel Tarian Asas Etnik Gana di Dewan Kampung Buang Sayang, Bingkor, baru-baru ini.
Program berkenaan dilaksanakan sebagai inisiatif Pemerkasaan Budaya Etnik bagi memperkukuh identiti dan warisan seni masyarakat Gana di daerah ini.
Melalui bengkel tersebut, peserta didedahkan kepada sejarah, gerak asas, irama serta simbolik tarian tradisi Gana yang menjadi sebahagian penting khazanah budaya tempatan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Daerah Keningau, Rafie Robert.
Dalam ucapannya, Rafie menegaskan bahawa pemuliharaan budaya tempatan merupakan tanggungjawab bersama, khususnya generasi muda sebagai pewaris tradisi.
“Budaya adalah cerminan jati diri. Jika kita tidak pelihara hari ini, generasi akan datang hanya mengenalinya melalui gambar dan cerita sahaja,” katanya.
Bengkel berkenaan disertai oleh ahli Persatuan Gana Sabah, Persatuan Kujau Gana Nabai Sabah (KGNS), Persatuan Penduduk Etnik Gana Bingkor, golongan belia serta masyarakat setempat yang menunjukkan minat tinggi terhadap seni warisan nenek moyang mereka.
KenCA turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat termasuk jawatankuasa penganjur, tenaga pengajar tarian, peserta dan komuniti tempatan atas kerjasama serta komitmen menjayakan bengkel itu.
Program ini diharap menjadi platform berterusan untuk menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti kebudayaan selain memperkukuh semangat perpaduan dan jati diri rakyat Keningau.