Beliawanis Bukan Alat Kosmetik Politik, Tapi Pembina Harapan Baharu di Sabah – Nor Hayaty – Sabah News
Oleh: Mirlen Axtius
KOTA KINABALU: “Beliawanis bukan alat kosmetik politik, tetapi petarung fakta, benteng kebenaran, dan pembina harapan baharu Sabah,” tegas Ketua Penerangan Pergerakan Beliawanis Gagasan Rakyat, Nor Hayaty Mohd Adnan ketika menyampaikan ucapan sokongan terhadap Ucapan Dasar Ketua Beliawanis sempena Persidangan Agung Tahunan Beliawanis 2025 pada Sabtu lalu.
Hayaty menyifatkan ucapan dasar tersebut sebagai lebih daripada sekadar dokumen parti, sebaliknya sebagai nadi perjuangan wanita muda Sabah yang semakin matang dan bersedia untuk memimpin perubahan.
“Kita bukan pelengkap majlis, tetapi penentu arus. Kita hadir bukan untuk menumpang pentas, tapi menyusun pentas baru,” tegas beliau di hadapan perwakilan.
Katanya lagi, Beliawanis perlu keluar daripada acuan lama dan mencipta pendekatan politik baharu yang inklusif, dekat dengan denyut nadi rakyat dan berorientasikan solusi.
Beliau turut mengangkat Program DAYANG (Dana Aspirasi Wanita Generasi Muda) sebagai contoh inisiatif berimpak tinggi, yang telah melatih lebih 1,500 wanita muda sejak 2023.
Program ini menyediakan geran permulaan perniagaan antara RM2,000 hingga RM10,000 serta bimbingan keusahawanan secara intensif selama enam bulan.
“Kita tidak boleh tunggu diberi peluang, kita mesti cipta peluang,” tambahnya, sambil berharap agar kerajaan negeri dapat meneruskan dan mempermudahkan akses kepada dana tersebut untuk golongan wanita muda.
Menyentuh soal politik digital, beliau menyeru Beliawanis menguasai medan media sosial seperti TikTok dan Instagram, bukan sekadar untuk menjadi viral, tetapi untuk menjadi sumber maklumat yang diyakini.
“Bukan sekadar trending, kita mahu jadi trusted,” katanya lagi sambil menekankan pentingnya penguasaan naratif oleh anak muda.
Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Hayaty menegaskan bahawa kekuatan Beliawanis sebagai pengundi muda wanita adalah penentu kemenangan Gagasan Rakyat.
“Kalau kita kalah, rumah ini akan diambil alih oleh mereka yang pernah meruntuhkannya dan jangan izinkan itu berlaku,” katanya.
Dengan lebih 50 peratus pengundi terdiri daripada wanita dan lebih 40 peratus adalah golongan muda, Hayaty mengingatkan bahawa kekuatan sebenar terletak pada tangan Beliawanis sendiri.
“PRN-17 bukan soal siapa paling pandai menabur janji, tapi siapa paling terbukti membela negeri” katanya.