Read Time:1 Minute, 31 Second
KUALA LUMPUR: Golongan belia Sabah sama ada yang berada di dalam negeri mahupun melanjutkan pengajian di Semenanjung diingatkan supaya sentiasa merujuk kepada pihak berautoriti dalam hal ehwal agama bagi mengelakkan diri daripada terpengaruh dengan ajaran sesat atau fahaman yang menyimpang.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif berkata, langkah paling penting ialah memastikan sebarang perkara berkaitan agama dirujuk kepada institusi serta individu yang mempunyai kelayakan dan tauliah.
Menurutnya, di Sabah, perkara berkaitan agama Islam berada di bawah seliaan institusi seperti Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) serta Pejabat Mufti Sabah.
“Salah satu cara untuk mengelakkan diri daripada terjerumus ialah sentiasa merujuk kepada pihak yang berautoriti.
“Kalau di Sabah, rujuk kepada MUIS, JHEAINS dan Pejabat Mufti sekiranya ada perkara yang meragukan atau mengelirukan berkaitan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program silaturahim bersama 36 mahasiswa Sabah dari Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini.
Mohd Arifin yang juga Exco Agama Sabah berkata, individu yang ingin menyampaikan ceramah atau pengajaran agama di negeri itu juga tertakluk kepada keperluan mendapatkan tauliah sebagai langkah kawalan dan pemantauan.
Menurut beliau, usaha berkenaan penting bagi memastikan penyebaran ilmu agama berlaku secara tersusun selain mengelakkan penularan ajaran menyimpang.
“Mana-mana individu yang ingin mengajar atau berdakwah perlu mendapatkan tauliah. Ini antara usaha untuk mengawal dan memantau perkembangan pengajaran agama di negeri ini.
“Kepada anak-anak Sabah yang belajar di Semenanjung atau berada di luar negeri, rujuklah kepada pensyarah, guru agama dan pihak yang diiktiraf sekiranya timbul sebarang keraguan.
“Jangan mudah menerima sesuatu tanpa semakan kerana perkara berkaitan akidah perlu diberi perhatian serius,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri akan terus memperkasakan program kesedaran, dakwah dan pendidikan bagi memastikan masyarakat khususnya generasi muda terus berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.





