Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Belia Sabah digesa manfaatkan peluang PRN tentukan hala tuju negeri

KOTA KINABALU: Golongan belia di Sabah diingatkan supaya tidak melepaskan peluang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini untuk menggunakan kuasa undi mereka dalam menentukan masa depan negeri.

Pengerusi Randawi Tavantang Kaamatan (RTK), Casey Jovial, berkata sudah tiba masanya belia Sabah menilai calon bukan hanya berdasarkan janji kempen, tetapi kepada keupayaan mereka mendekati rakyat serta memberi ruang kepada golongan muda untuk terlibat dalam pembangunan negeri.

“Sebagai belia, inilah masanya untuk kita benar-benar menilai siapa yang layak memimpin. Pilihlah pemimpin yang benar-benar mendengar suara kita, bukan hanya muncul ketika musim pilihan raya. Pemimpin yang mampu duduk semeja, berbincang, dan memahami apa sebenarnya keperluan anak muda,” kata usahawan muda itu.

Menurut Casey, masih terdapat pemimpin yang komited turun padang, membantu dan membuka peluang kepada belia untuk berkembang, sekali gus membuktikan tidak semua pemimpin bersikap sama.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesilapan dalam membuat pilihan kepimpinan boleh menjejaskan usaha dan potensi golongan muda dalam organisasi serta komuniti tempatan.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesilapan memilih pemimpin akan menjejaskan usaha golongan muda dalam organisasi dan komuniti kerana apabila pemimpin sukar didekati, suara serta idea belia tidak akan ke mana.

“Ramai belia kita mempunyai semangat, namun mereka memerlukan peluang dan sokongan daripada pihak yang tepat,” katanya yang berdaftar sebagai pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas.

Casey menegaskan bahawa belia Sabah kini cukup matang untuk menilai dan memilih pemimpin yang mendengar serta berani bertindak demi masa depan generasi muda.

“Masa depan Sabah tetap akan bergantung kepada tenaga dan semangat belia sendiri. Kalau pemimpin menghargai belia, belia juga akan menghargai pemimpin itu kembali. Kita saling memerlukan,” katanya.

Terdahulu, pada 6 Oktober lalu Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan pembubaran DUN Sabah ke-16 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di Menara Kinabalu.

Dengan pembubaran itu, Sabah kini ditadbir oleh kerajaan sementara dengan Hajiji kekal menjalankan tugas sebagai Ketua Menteri sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas PRN nanti. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE