Bekas Finalis MasterChef, Suami Kontraktor Dipenjara 34 Tahun Kerana Bunuh Pembantu Rumah – Sabah News
KOTA KINABALU: Seorang kontraktor dan bekas isterinya dijatuhi hukuman penjara 34 tahun setiap seorang oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini, selepas didapati bersalah membunuh pembantu rumah mereka empat tahun lalu.
Memetik daily Express, Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng dalam keputusannya mendapati Mohammad Ambree Yunos @ Unos, 44, dan Etiqah Siti Noorashikeen Mohd Sulong, 37, bersalah membunuh Nur Afiyah Daeng Damin, 28, antara 8 hingga 11 Disember 2021 di sebuah unit di Amber Tower, Lido Avenue Condominium, Penampang.
Ambree turut dikenakan hukuman 12 sebatan, manakala Etiqah, yang pernah menyertai program realiti masakan MasterChef Malaysia 2012, dikecualikan sebatan kerana faktor jantina.
Pasangan itu sebelum ini dibebaskan dengan jaminan namun diarahkan memulakan hukuman penjara serta-merta bermula hari mereka disabitkan kesalahan, iaitu Jumaat.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, serta tidak kurang 12 sebatan jika disabitkan.
Mangsa yang memiliki MyKad adalah anak kepada pasangan warga Indonesia.