Read Time:1 Minute, 24 Second
MEMBAKUT : Bekalan air di daerah ini kekal stabil hasil pengurusan berkesan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dengan dua loji di kawasan itu kini mampu menghasilkan lebih 16 juta liter air sehari selain membekalkan air ke beberapa kawasan berhampiran.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Caretaker) Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, kejayaan itu menunjukkan komitmen tinggi JANS khususnya di Membakut dalam memastikan rakyat menerima bekalan air tanpa gangguan.
“Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Pengarah dan pegawai Jabatan Air Membakut atas usaha mereka memastikan tiada masalah bekalan air di sini.
“Keupayaan dua loji di Membakut ini bukan saja mencukupi untuk kawasan sendiri, malah membantu daerah lain,” katanya ketika ditemui selepas lawatan kerja ke Loji Air Membakut, di sini pada Jumaat.

Arifin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah atas peruntukan yang diberikan bagi kerja penyelenggaraan dan menaik taraf loji di Beaufort, Sipitang dan Membakut, yang akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun.
Katanya, kerajaan negeri juga sedang mempercepatkan pembinaan Loji Rawatan Air Bongawan, yang kini dalam peringkat pra pembinaan dengan kapasiti empat juta liter sehari, bagi memastikan keperluan air bersih di kawasan pantai barat selatan terus terjamin.
“Apabila Loji Bongawan siap nanti, kawasan Membakut tidak lagi perlu menyalurkan bekalan ke Bongawan, sekali gus menjadikan bekalan tempatan lebih mencukupi dan stabil,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa antara fokus utama seterusnya ialah menaik taraf sistem pengambilan air (intake) di Membakut bagi menambah kapasiti dan kecekapan pengedaran air ke kawasan sekitar.
“Lebih 50 kakitangan Jabatan Air Membakut bekerja keras setiap hari memastikan operasi berjalan lancar. Ini wajar dihargai kerana kejayaan seperti ini datang hasil dedikasi semua pihak,” katanya. – SABAH MEDIA






