Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Badan pemikir perkukuh perancangan pembangunan Membakut


Read Time:1 Minute, 15 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Penubuhan badan pemikir di Membakut dijangka menjadi pemangkin utama kepada pembangunan lebih sistematik dan berdaya saing di daerah itu, menerusi penglibatan golongan profesional, berpendidikan tinggi serta pegawai kanan kerajaan yang berasal dari Membakut.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Membakut Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, berkata badan pemikir tersebut menghimpunkan tenaga pakar anak-anak Membakut yang kini menetap di Kota Kinabalu, dan mereka memainkan peranan penting dalam memberikan input bernas berkaitan pembangunan daerah.

“Saya sering mendapatkan maklumat serta pendapat daripada mereka mengenai cara terbaik untuk merancang dan membangunkan Membakut.

“Badan pemikir ini terdiri daripada anak-anak Membakut yang berada di bandaraya ini, dan masing-masing membawa kepakaran tersendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anak-Anak Membakut di sini, pada Selasa.

Arifin Arif

Arifin yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut berkata, kehadiran golongan profesional seperti jurutera, arkitek, ahli akademik dan pegawai kanan kerajaan mampu memperkukuh usaha kerajaan dan masyarakat dalam membentuk perancangan jangka panjang yang lebih terarah.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa program seumpamanya bukan sekadar perjumpaan sosial, tetapi wadah penting untuk mengeratkan hubungan serta menyatukan hati masyarakat asal Membakut.

Katanya, nilai kesetiaan, kasih sayang dan rasa tanggungjawab terhadap daerah kelahiran perlu terus dipupuk bagi memastikan pembangunan Membakut dapat digerakkan secara bersama.

“Dengan itu kita boleh berbakti kepada Membakut, dan apa yang kita laksanakan sekurang-kurangnya dapat disumbangkan untuk pembangunan bersama di daerah itu,” ujarnya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE