TAWAU, – Anak syarikat milik penuh AuMAS Resources Bhd, Wullersdorf Resources Sdn Bhd, telah menerima pembaharuan lesen Operation Mining Scheme (OMS) daripada Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG).
Syarikat perlombongan emas bersepadu penuh pertama dan satu-satunya syarikat tersenarai di Bursa Malaysia yang berpangkalan di Tawau itu berkata lesen berkenaan telah dikeluarkan secara rasmi pada 11 Oktober 2025, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kesinambungan operasi lombong emas Bukit Mantri di Sabah.
“Pemberian lesen OMS ini mengesahkan bahawa projek berkenaan telah memenuhi semua keperluan peraturan yang ditetapkan, termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lombong emas Bukit Mantri berkenaan dikendalikan oleh Wullersdorf Resources Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh AuMAS Resources Bhd.
AuMAS menegaskan bahawa pembaharuan lesen tersebut mencerminkan komitmen syarikat terhadap pematuhan penuh terhadap peraturan perlombongan dan piawaian alam sekitar Malaysia, di samping menyumbang kepada pembangunan mampan sektor mineral negara, katanya.