Read Time:1 Minute, 28 Second
Oleh Normimie Diun
MEMBAKUT: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bongawan dan Membakut, Tan Sri Anifah Aman dan Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, menyatakan keyakinan masing-masing dalam menghadapi kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 dengan fokus kepada sokongan rakyat dan pembangunan belia.
Anifah berkata sokongan akar umbi yang ditunjukkan sepanjang kempen merupakan petanda positif.
“Alhamdulillah, apabila saya melihat sokongan yang diberi oleh ahli-ahli kita, ia menunjukkan tanda yang baik. Insya-Allah kita akan menang dan saya bersama Datuk Arifin akan mewakili bukan sahaja parti tetapi negeri yang kita cintai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas hadir di Pusat Penamaan Calon di Dewan Kesenian Islam di sini, hari ini.
Mengulas komposisi hampir separuh pengundi Bongawan yang terdiri daripada belia bawah 40 tahun, beliau menegaskan pendekatannya adalah memberi kefahaman dan harapan kepada golongan itu.
“Tidak perlu ‘tackle’. Kita beri pengertian dan beri mereka harapan mengenai apa yang akan kita lakukan untuk mereka, supaya mereka juga mampu menjaga keluarga masing-masing,” katanya.
Sementara itu, penyandang lima penggal DUN Membakut, Arifin mengingatkan bahawa saingan 10 penjuru bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.
“Semua calon yang bertanding percaya mereka boleh bersaing. Kita di GRS yakin, insya-Allah. Namun kita tidak boleh anggap enteng, tidak boleh anggap remeh rakan-rakan yang turut bersaing,” katanya.
Beliau berkata keyakinan GRS adalah berdasarkan rekod kerja dan perkhidmatan yang telah dilaksanakan serta perancangan pembangunan yang sedang digerakkan.
“Seperti yang dinyatakan Tan Sri Anifah, aspek pendidikan, ekonomi dan pembangunan belia adalah keutamaan. Pemerkasaan belia melalui pendidikan dan kemahiran merupakan fokus kami bersama,” katanya.
Terdahulu, Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Suzlan Suhaili mengumumkan 10 calon layak bertanding bagi merebut kerusi DUN Membakut manakala sembilan calon di DUN Bongawan bagi PRU DU Sabah ke-17 kali ini.






