Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Anugerah Sukan Sabah Ke-17 iktiraf atlet, jurulatih dan penggiat sukan negeri


Read Time:1 Minute, 57 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kejayaan serta sumbangan atlet, jurulatih dan penggiat sukan Sabah terus mendapat pengiktirafan apabila Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2023–2024 berlangsung penuh gilang-gemilang di salah sebuah hotel terkemuka sini pada Jumaat (6 Feb).

Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman bersama isteri, Toh Puan Faridah Tusin, dan turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor serta Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif (PBKSEK), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, sekali gus mencerminkan komitmen kepimpinan negeri dalam memartabatkan pembangunan sukan Sabah.

Anugerah Sukan Sabah Ke-17 dimulakan menerusi Segmen 1 yang menampilkan pengiktirafan kepada pengamal media dan jurulatih. Oh Genng Lu dari Daily Express dinobatkan sebagai penerima Anugerah Wartawan Sukan, manakala Anugerah Sukan Multimedia dimenangi Mohd Syaffif Syahran Danny dari RTM.

Dalam kategori kejurulatihan, Wong Hie Ming @ Eva (Para Renang) dipilih sebagai Jurulatih Sukan Wanita Terbaik, sementara Arif Mulis (Pencak Silat) menerima Anugerah Jurulatih Sukan Lelaki Terbaik. Anugerah Berpasukan Perempuan Terbaik pula menjadi milik Sabah FA (Bola Sepak Wanita), manakala Pasukan Sepak Takraw Lelaki merangkul Anugerah Berpasukan Lelaki Terbaik.

Segmen 2 menyaksikan penyampaian Anugerah Khas kepada empat penerima iaitu Cikgu Chong Man Kuen @ Andrew (Wushu), Borneo Samudera Sdn Bhd, Sabah Softwood Berhad dan Jetama Sdn Bhd atas sumbangan signifikan mereka kepada pembangunan sukan negeri.

Dalam segmen sama, Eva Anatasia Warren dan Jaethan Jonathan Quan, masing-masing dari sukan Muaythai, dinobatkan sebagai Olahragawati Harapan Negeri dan Olahragawan Harapan Negeri, manakala Anugerah Persatuan Sukan Terbaik Negeri dimenangi Persatuan Muaythai Negeri Sabah.

Segmen 3 menampilkan pengiktirafan kepada tokoh kepimpinan dan atlet para apabila Spencer Sooo Kok Heng dari Persatuan Sukan Pekak menerima Anugerah Kepimpinan Sukan Negeri Sabah. Brenda Anellia Larry (Para Renang) pula dinobatkan sebagai Olahragawati Para Negeri Sabah, sementara Eddy Bernard (Para Olahraga) menerima Anugerah Olahragawan Para.

Nor Farah Mazlan (Pencak Silat) dinobatkan Anugerah Sukan Olahragawati Negeri Sabah.

Kemuncak majlis dalam Segmen 4 menyaksikan Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah dianugerahkan kepada Datuk Roslie Ibrahim dari sukan Sepak Takraw. Anugerah Olahragawati Negeri Sabah dimenangi Nor Farah Mazlan (Pencak Silat), manakala Muhammad Asnawi Iqbal Adam (Sukan Pelayaran) dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Sabah.

Muhammad Asnawi Iqbal Adam (Sukan Pelayaran) dinobatkan Anugerah Sukan Olahragawan Negeri Sabah.

Majlis berkenaan bukan sahaja mengiktiraf pencapaian cemerlang warga sukan negeri, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem sukan Sabah yang lebih progresif dan berdaya saing di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

LEAVE A RESPONSE