Anifah persoal bantahan konsert Israel Houghton, gesa politik intoleransi agama tidak dibawa ke Sabah
Read Time:2 Minute, 20 Second
KOTA KINABALU: Bekas Menteri Luar, Tan Sri Anifah Aman mempersoalkan bantahan terhadap cadangan penganjuran konsert penyanyi gospel Amerika Syarikat, Israel Houghton di Kota Kinabalu, sambil mengingatkan supaya politik berteraskan intoleransi agama tidak dibawa masuk ke Sabah.
Anifah berkata, beliau terkejut apabila mengetahui laporan polis dibuat berhubung penganjuran konsert berkenaan, sedangkan Sabah selama ini dikenali sebagai negeri yang menjunjung tinggi toleransi dan keharmonian antara agama.
“Sabah sentiasa menjadi negeri di mana toleransi amat penting. Umat Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh dan penganut semua agama boleh hidup bersama secara harmoni.
“Justeru, melihat laporan polis dibuat terhadap penganjuran sebuah konsert Kristian, oleh penyanyi Kristian dan untuk penonton Kristian adalah sesuatu yang benar-benar membingungkan,” katanya dalam kenyataan.
Polis Sabah sebelum ini mengesahkan menerima dua laporan berhubung cadangan konsert berkenaan dan memaklumkan akan menasihati Kerajaan Negeri supaya acara itu tidak diadakan buat masa ini sekiranya permohonan rasmi dikemukakan, dengan mengambil kira reaksi serta sensitiviti masyarakat.
Anifah mengakui Houghton sebelum ini dilaporkan pernah menyuarakan sokongan terhadap Israel menerusi media sosial.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan sama ada wujud layanan berbeza apabila mendakwa sebuah kumpulan muzik heavy metal yang turut secara terbuka menyokong Israel dibenarkan membuat persembahan di Stadium Nasional Bukit Jalil bulan lalu.
“Mengapa ada dwistandard? Adakah intoleransi agama sudah mula menyelinap masuk ke dalam masyarakat kita?” soalnya.
Mengimbas pengalamannya sebagai Menteri Luar, Anifah berkata Malaysia sebelum ini pernah menerima kehadiran atlet luar negara yang mempunyai pendirian menyokong Israel untuk menyertai temasya sukan antarabangsa.
Menurutnya, pendirian kerajaan ketika itu jelas bahawa mereka boleh memasuki Malaysia selagi menghormati sensitiviti tempatan dan tidak mengibarkan bendera Israel.
Sehubungan itu, beliau berpandangan pendekatan sama boleh digunakan dalam isu konsert Houghton sekiranya pihak berkuasa dapat memastikan penyanyi berkenaan mematuhi undang-undang tempatan serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan provokasi.
“Jika pihak berkuasa penguatkuasaan kita dapat memastikan Israel Houghton mematuhi undang-undang tempatan, mengelakkan daripada mencetuskan sensitiviti tempatan dan langkah munasabah boleh diambil bagi mencegah sebarang provokasi, saya tidak melihat mengapa beliau perlu dihalang daripada membuat persembahan di Sabah,” katanya.
Anifah turut menegaskan acara berkenaan dinyatakan khusus untuk penganut Kristian dan bukannya bertujuan menyebarkan agama kepada umat Islam.
Katanya, agama Kristian mempunyai pelbagai denominasi dan muzik gospel yang dibawakan Houghton merupakan antara bentuk muzik keagamaan yang lazim dalam beberapa denominasi Protestan dan Reformed yang turut mempunyai penganut di Sabah.
“Kita tidak pernah mempunyai masalah dengan perkara ini sebelum ini.
“Kita tidak sepatutnya menjadikannya satu masalah sekarang. Jangan bawa politik agama yang tidak bertoleransi ke Sabah,” tegasnya.
Kontroversi itu tercetus selepas promosi konsert Houghton tersebar di media sosial. Polis sebelum ini berkata, setakat 28 September, penganjur masih belum mengemukakan permohonan rasmi kepada Kerajaan Negeri walaupun maklumat mengenai tarikh, lokasi dan harga tiket telah diiklankan.
Houghton merupakan penyanyi, penulis lagu dan pemuzik gospel serta muzik Kristian kontemporari dari Amerika Syarikat dan dikenali menerusi kumpulan Israel & New Breed.





