Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Ahli GRS Diingatkan Agar Tidak Terpengaruh Dengan Dakyah Pembohongan Pembangkang – Sabah News

TUARAN: Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menasihati semua pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat serta GRS agar tidak mudah terpengaruh dengan dakyah dan pembohongan yang disebarkan pihak pembangkang melalui media sosial.

Dalam ucapannya ketika merasmikan Persidangan Gagasan Rakyat Sulaman di Tuaran semalam, Hajiji menegaskan kepentingan untuk kekal bersatu, bijak menilai fakta dan menolak sebarang bentuk hasutan yang boleh menggugat perpaduan dalam gabungan tersebut.

“Kita mesti pandai menilai apa itu fitnah dan pembohongan serta apa yang telah dibuat oleh kerajaan. Jangan sekali-kali terpengaruh dengan fitnah pembangkang,” katanya.

Beliau turut menggesa ahli GRS untuk terus teguh bersama dalam menghadapi sebarang cabaran, terutamanya di kawasan Sulaman yang menjadi kubu kuat beliau sejak sekian lama.

Mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, Hajiji menjelaskan bahawa rundingan bersama komponen GRS sedang dilakukan bagi menentukan rakan kerjasama dan pembahagian kerusi secara konsensus.

“Walaupun belum ada keputusan muktamad, kita kini lebih selesa seperti dalam kerajaan sekarang, iaitu GRS-PH Plus. Ini adalah sentimen rakyat di bawah sekarang, mereka mahukan kesinambungan ini,” katanya lagi.

Beliau turut menyelar tindakan sesetengah parti pembangkang yang dilihat angkuh dan membuat kenyataan besar tanpa mengambil kira kehendak rakyat, berbeza dengan pendekatan inklusif GRS yang mengutamakan keputusan Majlis Tertinggi gabungan.

Mengenai kerusi DUN Sulaman yang diwakilinya sejak 1990, Hajiji menyatakan keyakinan bahawa GRS akan terus mempertahankannya dalam PRN akan datang.

Beliau juga mensasarkan kemenangan di tiga lagi kerusi dalam Parlimen Tuaran termasuk Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu demi memperkukuh kedudukan GRS di kawasan tersebut.

“Kita mesti terus bekerja dan pertahankan semua kerusi ini demi kestabilan dan masa depan rakyat Sabah,” tegas beliau.

Persidangan Gagasan Rakyat Sulaman itu turut dihadiri pimpinan parti dan ahli akar umbi dari seluruh kawasan Sulaman dan sekitarnya.

LEAVE A RESPONSE