Read Time:1 Minute, 3 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Keutamaan perbelanjaan dan keperluan menangani masalah infrastruktur asas antara perkara yang diberi perhatian kerajaan negeri dalam penyediaan Belanjawan Sabah akan datang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri sedang meneliti setiap cadangan perbelanjaan bagi memastikan peruntukan yang disediakan benar-benar memenuhi keperluan dan keutamaan pembangunan Sabah.
Katanya, penelitian itu dilakukan bersama pegawai Kementerian Kewangan, termasuk dengan memperuntukkan masa tambahan bagi memastikan semua perkara berkaitan diteliti secara menyeluruh.
Menurutnya, kerajaan negeri menyedari terdapat keperluan perbelanjaan besar untuk menyelesaikan pelbagai masalah infrastruktur asas yang masih dihadapi, namun pelaksanaannya perlu mengambil kira prinsip perbelanjaan berhemah.
“Kita mahu persediaan ini dibuat secara teliti supaya kita dapat membentangkan belanjawan yang benar-benar mencerminkan bukan sahaja kedudukan kewangan kita, tetapi lebih daripada itu, ia turut mencerminkan keutamaan kita dalam membuat perbelanjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyampaian bantuan kepada institusi agama bukan Islam serta sekolah mubaligh, sekolah Cina dan sekolah persendirian di sini, pada Selasa.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap perbelanjaan perlu dirancang dengan teliti bagi memastikan wang kerajaan digunakan sebaik-baiknya, khususnya dalam melaksanakan projek yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan keperluan pembangunan negeri dapat ditangani tanpa mengabaikan kedudukan kewangan Sabah. – SABAH MEDIA





