Read Time:1 Minute, 35 Second
KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) diminta mengambil tindakan menyeluruh bagi menangani masalah banjir, hakisan tebing sungai serta gangguan bekalan elektrik yang sekian lama membelenggu penduduk di kawasan Sipitang dan Beaufort.
Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, berkata ketiga-tiga isu berkenaan memerlukan penyelesaian tuntas menerusi pelaksanaan projek pembangunan dan naik taraf infrastruktur berkaitan.
Sehubungan itu, beliau meminta PETRA mempertimbangkan penyediaan peruntukan khas bagi melaksanakan projek tebatan banjir secara menyeluruh serta menaik taraf sistem saliran sedia ada di kedua-dua daerah berkenaan.
Katanya, limpahan Sungai Mengalong serta sistem saliran yang tidak lagi mampu menampung aliran air menyebabkan 17 kampung di Skim Sindumin sering dilanda banjir, malah ada kawasan mengambil masa lebih seminggu untuk pulih sepenuhnya.
Selain itu, beliau berkata kerja pengorekan, pendalaman dan pemuliharaan muara Sungai Sipitang serta Sungai Mengalong perlu disegerakan bagi mengatasi masalah pemendapan sedimen.
“Ini penting kerana pemendapan sedimen bukan sahaja menghalang pelepasan air ke laut, malah menyukarkan laluan bot nelayan dan bot operasi agensi ketika air surut,” katanya ketika membahaskan peringkat jawatankuasa Belanjawan PETRA di Dewan Rakyat, semalam.
Mengulas lanjut, Matbali berkata penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan turut berhadapan masalah banjir yang berlaku sebanyak sembilan kali sepanjang 2025 berikutan limpahan Sungai Padas dan Sungai Bukau.
Antara kawasan terjejas ialah Kampung Luagan Sanginan, Suasa, Kebajang, Bangkalalak, Mentulud, Bukau dan Lingkungan.
Beliau turut membangkitkan isu hakisan tebing sungai yang semakin kritikal di beberapa kawasan sekitar DUN Lumadan, termasuk Kampung Lubak, kawasan tanah perkuburan Kampung Lupak dan Beringin, Kampung Kaundo, Suasa serta Luagan Sanginan.
Dalam pada itu, beliau meminta PETRA memberi perhatian kepada masalah bekalan elektrik dengan membina pencawang elektrik baharu di Kampung Lalangut, Suasa, Kukup, Bangkalalak dan Weston bagi mengatasi masalah susutan voltan yang sekian lama dihadapi penduduk.
“Kita juga meminta kementerian menaik taraf talian kabel elektrik yang tidak bersalut kepada kabel bertebat di Kampung Weston demi menjamin keselamatan, serta menggantikan 150 unit lampu jalan di Zon Lumadan,” katanya.





