Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

KKR digesa pantau projek, tangani jalan rosak di Sipitang

Read Time:2 Minute, 17 Second

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) digesa memperketat pemantauan pelaksanaan projek pembangunan dan penyelenggaraan jalan raya di Sipitang bagi memastikan kemudahan infrastruktur di kawasan itu berada dalam keadaan baik serta selamat digunakan.

Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah berkata, pemantauan rapi dan berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan setiap projek disiapkan mengikut jadual serta spesifikasi yang ditetapkan.

Beliau berkata, antara projek yang memerlukan perhatian ialah pembinaan Jambatan Sungai Pengarah di Kilometer 3.40, Jalan Ulu Sipitang-Sungai Bubus yang perlu disiapkan mengikut jadual baharu ditetapkan.

Menurutnya, berdasarkan laporan kemajuan sehingga 25 Oktober 2026, kemajuan fizikal projek itu mencapai 75 peratus berbanding 79 peratus mengikut jadual, sekali gus mencatat kelewatan empat peratus atau bersamaan 26 hari.

“Tarikh siap asal pada 9 September 2026 telah dilanjutkan menerusi lanjutan masa (EOT) pertama selama 227 hari, menjadikan tarikh siap baharu pada 24 April 2027.

“Bagaimanapun, kelulusan lanjutan masa ini bukanlah lesen untuk melanjutkan kelewatan. Saya berharap pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan pemantauan berkala dan berkesan serta memastikan kontraktor memberikan prestasi kerja yang sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan peringkat jawatankuasa KKR di Dewan Rakyat, semalam.

Matbali berkata, jambatan berkenaan amat penting dalam menyokong aktiviti ekonomi, pendidikan serta memudahkan penduduk mendapatkan akses kepada kemudahan asas.

Selain itu, beliau turut membangkitkan keperluan menyediakan peruntukan mencukupi bagi kerja penyelenggaraan jalan raya sedia ada di Sipitang, termasuk Jalan Kampung Bukau menuju Simpang Kampung Lumadan dan Jalan Padas Valley.

Katanya, meskipun beberapa laluan berkenaan berkaitan dengan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo, tanggungjawab penyelenggaraan oleh pihak konsesi perlu terus dilaksanakan bagi menjamin keselamatan dan keselesaan pengguna.

“Jalan berlubang, permukaan mendap dan tidak rata, bahu jalan terhakis serta sistem saliran tersumbat bukan sekadar kecacatan fizikal, tetapi boleh menjadi ancaman kepada keselamatan pengguna.

“Jangan tunggu jalan runtuh baru hendak bertindak dan jangan tunggu kemalangan berlaku baru hendak mencari punca. Penyelenggaraan yang baik ialah langkah pencegahan yang mampu menyelamatkan nyawa, masa dan wang rakyat,” katanya.

Dalam perbahasan sama, beliau turut meminta perhatian KKR terhadap keadaan jalan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan yang memerlukan kerja pembaikan dan penyelenggaraan secara menyeluruh.

Menurutnya, berdasarkan senarai kerosakan serta cadangan penyelenggaraan yang dikemukakan, kerja pembaikan itu membabitkan kira-kira 79.741 kilometer jalan raya merangkumi 33 segmen laluan, termasuk di Kampung Bintuka, Kampung Suasa, Kampung Weston, Garama dan Bangkalalak.

Sehubungan itu, beliau berharap KKR memberikan perhatian serius terhadap senarai kerosakan berkenaan, khususnya dalam menetapkan keutamaan pelaksanaan, menyediakan peruntukan serta menetapkan jadual penyelenggaraan yang jelas.

Matbali turut menggesa KKR menaik taraf Jalan Lintas-Luagan, Sipitang, sepanjang 1.55 kilometer daripada jalan batu kelikir kepada jalan berturap bagi meningkatkan keselesaan dan keselamatan penduduk setempat.

Katanya, laluan yang dibina sejak Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) itu merupakan penghubung penting bagi penduduk Kampung Luagan dan Kampung Batu 7 Pantai untuk ke Pekan Sipitang.

LEAVE A RESPONSE