KOTA KINABALU: Ketua Wiramuda Exco Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) Jordan Jude Ellron menyeru semua parti tempatan di Sabah untuk bertanding atas kekuatan sendiri tanpa membentuk kerjasama politik sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, kuasa penuh harus diberikan kepada rakyat untuk memilih wakil yang layak, dan sebarang kerjasama politik sepatutnya dibentuk selepas pilihan raya berdasarkan mandat rakyat, bukannya perjanjian sulit atau kepentingan sementara.
“Hanya apabila suara rakyat benar-benar dihormati, barulah kita boleh capai kestabilan politik yang kukuh seperti dalam demokrasi matang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Jordan menegaskan kestabilan politik berlaku selepas pilihan raya, bukan sebelumnya, dan mengambil contoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang menyaksikan tiada parti memperoleh majoriti.
Katanya, keadaan sama turut berlaku di negara yang mengamalkan sistem Westminster seperti United Kingdom, contohnya pada 2010 apabila Parti Konservatif bergabung dengan Liberal Demokrat untuk membentuk kerajaan yang stabil selama lima tahun.
Tambahnya, dalam demokrasi matang, kerjasama hanya berlaku bila perlu dan bukan secara paksaan, serta rakyat kekal sebagai penentu utama.
Namun, di Malaysia, beliau berkata kerjasama antara parti sering menimbulkan masalah – jika kalah, tuduh menuduh berlaku; jika menang, kerjasama tidak diteruskan.
“Contohnya di kawasan Pensiangan, GRS bantu BN menang pada PRU15, tapi selepas itu tiada kerjasama langsung,” katanya.
Jelas beliau, penyelesaiannya mudah: biar setiap parti dan calon bertanding solo.
“Berikan rakyat pilihan sebenar. Itulah makna demokrasi sebenar,” katanya.