Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kebajikan, pendidikan anak muda perlu diberi perhatian dalam Belanjawan Sabah 2027

Read Time:1 Minute, 17 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KOTA KINABALU: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berharap kerajaan negeri terus memberi penekanan terhadap aspek kebajikan dan pendidikan golongan muda menerusi Belanjawan Sabah 2027.

Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim berkata, perhatian itu penting bagi memastikan golongan muda di negeri ini turut menikmati peluang pembangunan yang lebih menyeluruh.

Beliau berkata, antara keperluan yang perlu diberikan perhatian termasuk bantuan kebajikan serta sokongan pendidikan, daripada peringkat sekolah menengah hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, peruntukan hampir RM1.3 bilion bagi pembangunan modal insan dan pendidikan yang disediakan kerajaan negeri dalam tempoh lima tahun lalu wajar diteruskan serta diperkasakan.

“Sudah tentu kita berterima kasih kepada kerajaan negeri yang menyediakan dana besar bagi pembangunan modal insan dan pendidikan dalam tempoh lima tahun ini.

“Kita berharap peruntukan itu dapat diteruskan, diperkasakan serta dipermudahkan penyalurannya supaya anak-anak muda kita, dari peringkat sekolah menengah hingga ke IPT, mendapat manfaat sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Pertama Pemuda Gagasan Rakyat di sini, Sabtu.

Dalam pada itu, Azrul berharap Belanjawan Sabah 2027 turut mengambil kira keperluan perumahan golongan muda menerusi kesinambungan inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, kemudahan perumahan yang lebih mudah dimiliki mampu membantu golongan muda membina kehidupan lebih stabil, khususnya mereka yang baru memulakan kerjaya dan berkeluarga.

Beliau turut berharap kemudahan mendapatkan bantuan kerajaan dapat ditambah baik bagi memastikan golongan yang layak tidak berdepan kesukaran untuk menikmati manfaat disediakan.

Belanjawan Sabah 2027 dijadual dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada awal Disember ini. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE