Read Time:1 Minute, 57 Second
Oleh Normimie Diun
GUANGZHOU: Penggunaan teknologi pertanian pintar, termasuk dron dan sistem analisis berasaskan kecerdasan buatan (AI), berpotensi menjadi pendekatan baharu untuk memodenkan sektor pertanian Sabah, selain menarik lebih ramai golongan muda menceburi bidang berkenaan.
Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Sabah, Kapitan (Dr) Tan Kai Lee berkata, pendekatan pertanian pintar yang diterapkan di China memberi gambaran mengenai potensi penggunaan teknologi moden dalam meningkatkan kecekapan pengurusan ladang dan produktiviti pertanian.
Tan tertarik dengan penerangan pihak Universiti Sun Yat-sen mengenai penggunaan teknologi berkenaan dalam pengurusan kawasan pertanian berskala luas, termasuk tanaman padi, laici dan jagung.
Menurutnya, dron digunakan untuk memantau keadaan tanaman dari udara, melaksanakan kerja penyemburan baja serta mengumpul imej dan data berkaitan kawasan pertanian.
Data yang dikumpulkan pula boleh dianalisis menggunakan sistem berasaskan AI bagi membantu menilai keadaan tanaman dan memperkemas pengurusan ladang.
“Saya tertarik dengan pendekatan pertanian pintar di China kerana penggunaan dron membolehkan pemantauan kawasan tanaman yang luas dilakukan dengan lebih mudah dan cepat.
“Selain membantu kerja penyemburan baja, teknologi ini juga boleh digunakan untuk mengumpul data bagi tujuan analisis, sekali gus menjadikan pengurusan pertanian lebih cekap,” katanya.

Tan berkata demikian ketika berkongsi pengalaman selepas menyertai lawatan industri selama empat hari ke Guangzhou, China, bersama delegasi Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) Sabah.
Tan berpandangan penggunaan teknologi berkenaan berpotensi menarik minat golongan muda Sabah untuk menceburi sektor pertanian, memandangkan generasi masa kini lebih dekat dengan perkembangan teknologi digital dan peralatan moden.
“Anak-anak muda sekarang memang berminat dengan teknologi. Dron mungkin kelihatan seperti permainan atau game kepada mereka, tetapi sebenarnya ia mempunyai kegunaan yang sangat bermanfaat dalam bidang pertanian dan boleh menjana ekonomi.
“Jika pendekatan ini diperkenalkan dengan lebih meluas, saya percaya ia boleh menarik minat golongan belia untuk menceburi pertanian pintar,” katanya.
Tan turut melihat penerapan teknologi AI dan peralatan moden sebagai peluang untuk meningkatkan kualiti produk pertanian, memperkemas proses pengeluaran serta membantu pengusaha membuat keputusan berdasarkan data yang lebih tepat.
Menurutnya, pendedahan kepada kaedah pertanian pintar juga penting bagi mengubah persepsi bahawa sektor pertanian hanya bergantung kepada tenaga fizikal dan kaedah tradisional.
Justeru, katanya, pengalaman menerusi lawatan industri itu diharap dapat membuka ruang kepada penerokaan penggunaan teknologi pertanian pintar di Sabah, sekali gus menggalakkan lebih ramai golongan muda melihat sektor berkenaan sebagai bidang kerjaya dan keusahawanan yang mempunyai potensi ekonomi.





