Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Ekonomi Biru buka peluang industri hiliran bernilai tinggi di Sabah

Read Time:1 Minute, 42 Second

Oleh Normimie Diun

GUANGZHOU: Sabah berpotensi memperluas pembangunan Ekonomi Biru menerusi penerokaan industri perikanan berasaskan teknologi bioteknologi, khususnya dalam pemprosesan sumber marin kepada produk hiliran bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Operasi Sekretariat Sabah Maju Jaya (SSMJ), Jabatan Ketua Menteri, Datuk Ramlee Kariah berkata, lawatan ke National Fisheries and Zoopark di Guangzhou pada 12 November lalu memberi pendedahan mengenai pembangunan ekosistem industri perikanan yang merangkumi keseluruhan rantaian pengeluaran, daripada peringkat awal sehingga penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta penghasilan produk hiliran.

Menurutnya, model pembangunan itu berpotensi diteroka Sabah, khususnya menerusi komponen bioteknologi yang memanfaatkan sumber marin untuk menghasilkan produk industri hiliran bernilai tinggi.

Beliau berkata, penggunaan teknologi moden dalam sektor berkenaan bukan sahaja mampu meningkatkan nilai ekonomi sumber marin, malah membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dengan tawaran pendapatan lebih baik kepada rakyat.

“Jika kita lihat lima komponen bioteknologi, salah satunya ialah harvesting living resources. Melalui sumber marin, kita boleh memprosesnya menjadi produk industri hiliran yang mempunyai nilai tinggi.

“Pada masa sama, penggunaan teknologi dalam sektor ini berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik. Ini selari dengan agenda ekonomi Kerajaan Negeri yang menjadi antara tumpuan utama dalam Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas lawatan industri di Guangzhou.

Ramlee berkata, tindakan susulan akan diteliti bersama kementerian dan agensi berkaitan bagi mengenal pasti pendekatan serta teknologi yang sesuai untuk disesuaikan dan dilaksanakan di Sabah.

Katanya, pendedahan menerusi lawatan itu wajar dijadikan asas kepada perancangan awal supaya negeri ini dapat meneroka peluang pembangunan industri berasaskan teknologi dan inovasi.

Usaha berkenaan selari dengan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (2026-2030) yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi mampan, kemasukan pelaburan berkualiti serta pengukuhan industri strategik negeri.

Ekonomi Biru turut dikenal pasti sebagai antara fokus utama SMJ 2.0, dengan kerangka pembangunan merangkumi lima komponen, 15 aktiviti strategik, 18 industri dan lebih 36 potensi industri hiliran bagi memanfaatkan sumber marin secara mampan.

Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan membuka peluang ekonomi dan menarik pelaburan, malah memastikan pembangunan sektor marin dilaksanakan dengan mengambil kira pemeliharaan ekosistem laut Sabah.

LEAVE A RESPONSE