Read Time:1 Minute, 2 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Lebih 70 pengamal media menghadiri taklimat media yang dianjurkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sabah bagi persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17).
Program yang dikendalikan oleh Akademi Pilihan Raya, dengan kerjasama Unit Komunikasi Korporat (UKK) SPR itu bertujuan memberi pendedahan serta panduan lengkap kepada pihak media mengenai proses pilihan raya, termasuk penggunaan istilah yang tepat dalam pelaporan.
Timbalan Pengarah Akademi Pilihan Raya Datuk Puteh Hidayah Ab Rahman berkata, kehadiran pengamal media khususnya di negeri ini menunjukkan sambutan yang baik.

“Alhamdulillah, program hari ini berjalan lancar. Kita dapat berkongsi maklumat-maklumat penting berkaitan proses pilihan raya supaya pihak media lebih memahami dengan jelas.
“Selain itu, taklimat turut membincangkan panduan ‘do’s and don’ts’, peraturan dan garis panduan pihak media dalam melaporkan pilihan raya, serta memperkukuh hubungan komunikasi antara media dan SPR,” katanya.
Puteh berkata, cadangan serta masalah yang dikemukakan sebelum ini oleh pihak media turut diambil perhatian bagi penambahbaikan pengurusan PRU DUN Sabah akan datang.
Beliau turut berharap taklimat berkenaan dapat memastikan laporan media lebih tepat, sahih, dan mematuhi peraturan pilihan raya, selaras dengan usaha SPR untuk memastikan proses pilihan raya berjalan lancar dan teratur. – SABAH MEDIA / FOTO JAPEN SABAH






