Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

KPDN laksana mekanisme kawalan harga minyak masak botol

Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 November 2026 meluluskan syor Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk melaksanakan Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak (MKHMM) bagi memastikan kestabilan harga dan bekalan minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol kepada pengguna.

Menerusi mekanisme itu, kerajaan akan mengekalkan harga siling minyak masak sawit tulen kemasan botol pada RM6.90 bagi satu kilogram (kg), RM13.30 (2kg), RM19.60 (3kg) dan RM30.90 (5kg) melalui peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pelaksanaan MKHMM mengambil kira trend peningkatan harga minyak sawit mentah (CPO) dunia sejak Jun 2025 yang dijangka terus memberi tekanan kos kepada industri pengilangan.

Beliau berkata, tekanan kos berkenaan menyebabkan sebahagian syarikat berdepan kesukaran untuk terus mematuhi harga siling yang ditetapkan, malah terdapat syarikat yang telah menghentikan pengeluaran.

Katanya, berdasarkan purata harga CPO dunia pada Oktober 2026 sebanyak RM4,400 setan, harga minyak masak botol lima kilogram dianggarkan meningkat kepada RM34 sekiranya tiada langkah intervensi dilaksanakan.

“Sehubungan itu, MKHMM diperkenalkan bagi mengelakkan gangguan bekalan serta kenaikan harga minyak masak botol yang boleh membebankan pengguna.

“Pelaksanaan mekanisme itu dijangka melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM15 juta sebulan dalam bentuk insentif khas kepada pembekal yang mematuhi harga siling ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata kerajaan turut mengambil perhatian terhadap kesukaran sebahagian pengusaha restoran mendapatkan pekerja sehingga memohon kelulusan penggajian pekerja asing.

Beliau berkata, susulan pengumuman Perdana Menteri dan keputusan Jemaah Menteri pada Ogos 2026, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) sedang memproses permohonan berdasarkan siling kuota 15,000 pekerja asing yang diumumkan pada 5 Ogos 2026, tertakluk kepada syarat dan kriteria kelayakan ditetapkan.

“Bagaimanapun, kerajaan kekal komited mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing secara berperingkat, selaras dengan agenda reformasi pasaran buruh di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

“Agenda itu menyasarkan pengurangan kadar pekerja asing kepada 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja negara menjelang 2030,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pemegang taruh berkaitan, termasuk Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA), supaya tampil mengemukakan syor dan cadangan berasaskan data serta kajian menyeluruh bagi mengurangkan kebergantungan terhadap penggajian pekerja asing.

“Walaupun kerajaan mengakui cabaran yang dihadapi pengusaha restoran dalam mendapatkan pekerja, komitmen dan tindakan serius perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan berterusan terhadap tenaga kerja asing.

” Kebergantungan itu boleh menyebabkan herotan struktur gaji dan produktiviti negara, sekali gus menjadi cabaran berpanjangan dalam usaha meningkatkan pendapatan serta taraf hidup rakyat.

“Selain usaha meningkatkan pendapatan rakyat, kerajaan juga akan terus melaksanakan langkah intervensi bagi menangani isu kenaikan harga barangan keperluan, termasuk kesan pergerakan harga dan kos perkhidmatan susulan konflik geopolitik di Asia Barat,” katanya.

LEAVE A RESPONSE