Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Kerajaan GRS Berjaya Perkasa Mahkamah Anak Negeri Menerusi RUU 2026 – Sabah News

TUARAN: Kerajaan Negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya memperkasa Mahkamah Anak Negeri (MAN) menerusi kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Mahkamah Anak Negeri 2026 oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Julai lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kelulusan itu menandakan detik bersejarah yang menamatkan penantian sekian lama kerajaan negeri untuk memartabatkan serta memperkasakan sistem perundangan adat anak negeri.

Beliau berkata, langkah kerajaan mengukuhkan MAN adalah bagi memodenkan sistem perundangan tradisional Bumiputera serta memastikan ia kekal berkesan, relevan dan berwibawa seiring peredaran zaman.

“Usaha ini juga untuk memastikan bidang kuasanya lebih jelas, teratur, dan berupaya memelihara serta memartabatkan undang-undang adat tempatan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, beberapa pembaharuan utama berjaya dicapai melalui enakmen baharu itu, antaranya struktur kehakiman yang lebih mantap dan profesional, di mana, struktur mahkamah disusun semula dengan lebih komprehensif bagi merangkumi Mahkamah Daerah Anak Negeri, Mahkamah Tinggi Anak Negeri dan Mahkamah Rayuan Anak Negeri, selain mewujudkan jawatan Ketua Hakim dan Hakim Besar Mahkamah Anak Negeri, serta jawatan Peguam Mahkamah Anak Negeri dan Pendaftar.

“Pelantikan hakim kini dirancang berasaskan merit untuk memastikan integriti dan kewibawaan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata, pengukuhan itu turut melibatkan pemisahan fungsi yang lebih nyata antara pentadbiran dan adat dengan fungsi penghakiman.

Walau bagaimanapun, peranan tradisi pegawai adat seperti Ketua Daerah dan Ketua Anak Negeri tetap dipelihara untuk mengekalkan akar adat masyarakat Sabah.

Katanya, seiring dengan transformasi perundangan itu, kerajaan GRS turut memperuntukkan dana bagi menaik taraf fizikal bangunan, termasuk cadangan menaik taraf Kompleks Kehakiman Anak Negeri Sabah serta membina mahkamah baharu di beberapa daerah bagi menyokong struktur institusi yang lebih mantap.

Hajiji berkata, pemerkasaan itu bukan sahaja menaikkan imej institusi adat, malah menjadi langkah kritikal dalam meletakkan status Undang-Undang Adat Anak Negeri pada kedudukan yang lebih dihormati dan setaraf dalam sistem perundangan negara.

Beliau berkata, agenda perjuangan kerajaan GRS tidak pernah terhad kepada pembangunan fizikal dan material semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha memelihara jati diri, khazanah dan institusi perundangan adat.

“Sabah adalah sebuah bumi yang kaya dengan kepelbagaian budaya, adat resam, dan keunikan anak negeri. Oleh itu, memelihara maruah dan kedaulatan undang-undang adat adalah tanggungjawab besar yang dipikul oleh kerajaan hari ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata, perasmian Projek Pemuliharaan Sungai Tuaran dan Tapak Letak Kenderaan Baharu Pekan Tuaran membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan agenda pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh, sama ada dari sudut infrastruktur moden mahupun kelestarian alam sekitar.

Beliau berkata, Sungai Tuaran merupakan antara khazanah alam yang penting kepada daerah itu kerana bukan sahaja mempunyai nilai dari sudut alam sekitar, tetapi turut menjadi sebahagian daripada kehidupan dan sejarah masyarakat setempat.

Katanya, cabaran perubahan iklim dan hakisan tebing menuntut tindakan proaktif kerajaan, justeru usaha memulihara sungai perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh bagi memastikan kawasan itu sentiasa bersih, terpelihara dan tidak dicemari aktiviti yang boleh menjejaskan persekitarannya.

Hajiji berkata, reka bentuk jambatan yang dibina dalam projek itu mengambil inspirasi daripada bubu ikan tradisional, iaitu peralatan menangkap ikan yang cukup sinonim dengan kehidupan masyarakat tempatan.

Katanya, Jambatan Tamu Tuaran bukan sahaja menjadi mercu tanda baharu Pekan Tuaran, tetapi turut berfungsi menghubungkan komuniti di seberang sungai dengan kawasan Tamu Tuaran, selain memudahkan pergerakan penduduk khususnya pejalan kaki.

Mengenai tapak letak kenderaan baharu, beliau berkata, kemudahan itu disediakan berikutan Pekan Tuaran sedang mengalami pertumbuhan ekonomi dan aktiviti domestik yang sangat pesat.

Menurutnya, pertambahan kenderaan terutama pada hari tamu dan hujung minggu sering kali menimbulkan kesesakan, manakala pekan itu turut menjadi tumpuan masyarakat untuk menjalankan urusan harian termasuk aktiviti perniagaan dan perdagangan.

Hajiji turut mahu setiap daerah di Sabah membangunkan dan mempromosikan produk serta pengalaman pelancongan yang mempunyai identiti sendiri sebagai persediaan rapi menyambut Tahun Melawat Sabah 2027.

Beliau berkata, Tuaran mempunyai pantai, pusat rekreasi, khazanah budaya dan alam sekitar yang menarik, selain kegiatan ekonomi, pertanian, perikanan dan pelancongan yang boleh terus diperkembangkan.

LEAVE A RESPONSE